
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merayu pengundi muda segera keluar mengundi susulan jangkaan cuaca pada sebelah petang diramal hujan, kata Pengerusi Ramlan Harun.
Katanya, berdasarkan pemerhatian mendapati warga emas lebih ramai keluar memilih, berbanding golongan muda.
“Setakat 11 pagi, jumlah keluar mengundi ialah 28.11%. Bagaimanapun, daripada pemerhatian kami, kita lihat warga emas lebih banyak keluar mengundi berbanding orang muda.
“Jadi kita harap orang muda cepat-cepat bangun dan keluar mengundi kerana kita menjangkakan cuaca pada sebelah petang tidak begitu baik,” katanya menurut Kosmo, di Seremban.
Beliau berkata, ramalan cuaca mengunjurkan hanya kawasan Port Dickson dijangka mengalami cuaca baik sehingga petang, manakala daerah lain berkemungkinan dilanda hujan, sekali gus boleh menjejaskan pergerakan pengundi ke pusat mengundi.
