
PETALING JAYA: Tiada rancangan istiadat angkat sumpah menteri besar di Istana Serting, Jempol, sekiranya Barisan Nasional (BN) menang PRN Negeri Sembilan, kata Pengerusi BN negeri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, perkara itu juga di luar pengetahuannya dan menganggap ia sebagai fitnah dan perang psikologi pihak lawan.
“Di luar pengetahuan saya, itu naratif mereka hendak perang psikologi supaya orang marah dengan BN.
“Saya tak tahu adanya perancangan begitu, itu semua perang psikologi, saya harap rakyat tidak termakan fitnah,” katanya menurut Utusan, di Seremban.
BN bertanding 25 kerusi pada PRN Negeri Sembilan, manakala baki 11 kawasan ditandingi Perikatan Nasional (PN) susulan persefahaman antara dua gabungan itu.
