Palmer, Joao Pedro antara bintang Chelsea turun lawan JDT

Perlawanan antara Chelsea FC menentang Johor Darul Ta’zim akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Johor Bahru pada 9 Ogos ini.

PETALING JAYA: Kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC mengesahkan beberapa pemain bintang mereka akan beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim di Johor Bahru pada 9 Ogos ini.

Antara pemain utama skuad The Blues yang dijangka beraksi termasuklah Cole Palmer, Joao Pedro, Estevao Willian, Liam Delap, Jamie Gittens, Levi Colwill, Wesley Fofana dan Romeo Lavia.

Perlawanan menentang juara bertahan Liga Super Malaysia itu adalah perlawanan terakhir Chelsea dalam siri jelajah pra musim mereka.

Bagi JDT, perlawanan ini menjadi satu lagi peluang untuk menguji kemampuan mereka menentang salah sebuah kelab elit Eropah.

Bagi penyokong bola sepak di Malaysia pula, ini merupakan peluang pertama dalam tempoh lebih sedekad untuk menyaksikan Chelsea beraksi di luar Kuala Lumpur, selain menjadi kunjungan sulung The Blues ke Stadium Sultan Ibrahim.

Ketua Jurulatih Chelsea FC, Xabi Alonso, berkata kelab itu tidak sabar untuk kembali ke Malaysia, di mana The Blues terus menikmati sokongan luar biasa daripada penyokongnya, sambil meneruskan persiapan menghadapi musim baharu.

“Saya tahu bahawa di Malaysia, Chelsea mempunyai penyokong yang sangat ramai dan sentiasa memberikan sokongan yang luar biasa. Kami tidak sabar untuk berkunjung ke Johor.

“Ke mana sahaja kami pergi di seluruh dunia, kami sentiasa dapat melihat sokongan dan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong Chelsea. Mereka sanggup berusaha untuk hadir menyaksikan perlawanan kami, dan kami amat menghargainya,” katanya.

Kunjungan ke Malaysia merupakan destinasi terakhir dalam jelajah pra musim kelab itu, yang turut merangkumi perlawanan di Sydney, Hong Kong dan Jakarta sebelum The Blues kembali ke England untuk melengkapkan persiapan menghadapi musim baharu Liga Perdana Inggeris.

Perlawanan antara Chelsea FC dan JDT dijadual berlangsung pada 8 malam, 9 Ogos ini, di Stadium Sultan Ibrahim yang dibawakan oleh rakan pengalaman rasmi, Tatler.

Harga tiket bermula dari RM154 untuk Kategori D, RM254 untuk Kategori C, RM454 untuk Kategori B dan RM654 Kategori A. Manakala untuk tempat duduk VIP harga ditawarkan adalah RM1,254.

Tiket boleh dibeli menerusi Tickethotline.com.my dan tertakluk kepada caj pemprosesan bagi setiap transaksi.

Author: admin