
PETALING JAYA: Satu kumpulan antirasuah mendesak dihentikan lantikan politik dalam badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
Merujuk kepada penerbitan laporan itu berkait campur tangan politik dalam proses pembuat keputusan Lembaga Pengarah TH, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), berkata ia menunjukkan bagaimana pertimbangan politik menyumbang salah urus kewangan teruk dalam dana jemaah haji, sekali gus mengundang risiko terhadap simpanan jutaan rakyat.
“Selagi lantikan politik terus bertapak dalam institusi-institusi ini, keadaan yang menjurus terjadinya penyalahgunaan, salah urus, dan rasuah akan berterusan.
“Institusi awam wujud untuk berkhidmat kepada rakyat, bukannya orang politik atau parti politik. Menghentikan lantikan politik penting demi mengekang rasuah, selain menjadi prasyarat memulihkan kepercayaan awam terhadap institusi diamanahkan dengan kekayaan negara,” kata C4 dalam kenyataan.
Kumpulan tersebut juga menuntut kerajaan melaksanakan syor RCI meminda Akta Tabung Haji 1995 bagi melarang ahli politik berkhidmat sebagai pengerusi Lembaga Pengarah.
Ia turut mencadangkan kerajaan meluluskan akta pendanaan politik yang bakal merangkumi pelaporan awam mandatori bagi semua dana politik serta larangan penuh terhadap penderma korporat dan tanpa nama, bagi mengelak penyalahgunaan dana awam untuk tujuan politik.
Laporan RCI TH telah dinyahklasifikasikan pada Rabu, kira-kira empat tahun selepas pihak suruhanjaya memuktamadkan siasatannya. RCI berkenaan mendapati wujud kelemahan serius dalam tadbir urus, pelaburan, dan pengurusan kewangan dana, antara 2014 hingga 2020.
Dalam laporan setebal 252 halaman itu, RCI mendapati punca masalah kewangan TH akibat campur tangan politik dalam pelantikan Lembaga Pengarah, pembayaran hibah tidak mampan, serta ketidaktegasan Jabatan Audit Negara ketika membuat dapatan susulan kebimbangan terhadap keyakinan pendeposit.
Ia menyatakan beberapa pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah TH yang dilantik antara 2014 dan 2018 merupakan ahli politik aktif, serta keputusan berhubung kadar hibah, bayaran haji, dan bantuan kewangan sepanjang tempoh tersebut dipengaruhi pertimbangan politik.
RCI turut memaklumkan menteri memantau TH mempunyai kuasa tanpa sekatan memecat Ahli Lembaga Pengarah tanpa sebarang sebab – kuasa yang telah digunakan untuk menamatkan perkhidmatan seorang ketua pegawai eksekutif dan pengerusi sebelum tempoh perkhidmatan tamat.
RCI turut mengesyorkan rombakan menyeluruh, termasuk pengawasan yang lebih ketat, audit forensik ke atas pelaburan terpilih, serta sekatan penglibatan politik dalam TH.
