Lelaki pandu bawah pengaruh dadah didakwa sebabkan kematian 3 beranak

kompleks mahkamah kajang
Tertuduh, Mohd Norazlan Mohd Tamyiz, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas tiga tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian tiga beranak, kelmarin.

PETALING JAYA: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas tiga tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian tiga beranak, kelmarin.

Tertuduh, Mohd Norazlan Mohd Tamyiz, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil, menurut Berita Harian.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa memandu Perodua Aruz di bawah pengaruh dadah berbahaya jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kematian Hafifi Rahmat, 34; isterinya, Nik Aishah Asilah Nik Mohd Zamzuri, 32; dan anaknya, Muhammad Rafie Hanzal Hafifi, 3, di Jalan Batu 17, Hulu Langat, di sini, pada 7.56 pagi, 29 Julai.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sabitan dan, dalam hal sabitan kali kedua atau seterusnya, hilang kelayakan selama tempoh 20 tahun dari tarikh sabitan mengikut Seksyen 44(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Farhanim Abdul Halim yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam S Priyalatha memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum atas alasan tertuduh menanggung isteri dan dua anak serta ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan melapor diri di balai polis pada setiap 1 hari bulan setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 September depan untuk serahan dokumen dan laporan patologi.

Author: admin