
PETALING JAYA: Ibu dan dua anak perempuan ditemukan maut dalam sebuah rumah, di Bandar Baru Tambun, Ipoh.
Ketua Polis Ipoh Muhammad Najib Hamzah, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 9.10 malam tadi, sebelum sepasukan pegawai dan anggota digegaskan.
Katanya, sebaik tiba didapati mangsa berusia 46 tahun dan dua anak masing-masing berusia 11 dan 12 tahun telah meninggal dunia dalam bilik di rumah tersebut.
“Pemeriksaan di bilik berkenaan menemui satu bekas dipercayai mengandungi sisa arang yang telah dibakar.
“Pemeriksaan pada mayat ketiga-tiga mangsa oleh pasukan forensik tidak menemui sebarang kecederaan mahupun unsur jenayah pada tubuh mereka,” katanya menurut Kosmo.
Mayat tiga beranak berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
