
PETALING JAYA: Tiga termasuk seorang kanak-kanak lelaki maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan lori tangki membawa muatan diesel dalam kejadian di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Gua Sejuk, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli, berkata pihaknya menerima panggilan berkenan kejadian terbabit pada 7.16 pagi.
Katanya, mereka menghantar dua jentera dan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang ke lokasi untuk membantu mangsa.
“Lori tangki berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu sebelum bertembung dengan Perodua Myvi dinaiki mangsa.
“Kejadian menyebabkan mangsa tersepit dan dikeluarkan oleh pihak bomba menggunakan peralatan penyelamatan.
“Tiga mangsa yang maut masing-masing seorang lelaki dan wanita dewasa serta kanak-kanak lelaki,” katanya, menurut Berita Harian.
Menurutnya, seorang lagi wanita turut dilaporkan cedera dalam kejadian terbabit dan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan lanjut.
“Mayat semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
