
KUALA LUMPUR: Pengarah urusan Nepturis Sdn Bhd, syarikat dianugerahkan kontrak membina IPD Klang Utara di bawah program Jana Wibawa, memberitahu Mahkamah Tinggi beliau tandatangan cek RM1 juta kepada Bersatu pada 2022, namun tidak mengetahui tujuannya.
Rizman Akum Khan, 42, selaku saksi pendakwaan ke-16 pada perbicaraan kes rasuah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, berkata dalam pernyataan saksinya bahawa ahli perniagaan Lian Tian Chuan mengarahkannya menyediakan cek itu, pada 16 Feb 2022.
“Saya mengesahkan cek itu dikeluarkan untuk dibayar RM1 juta kepada Bersatu. Saya mengesahkan bahawa saya menandatangani cek tersebut di ruang tandatangan ditetapkan. Saya mengesahkan tandatangan pada cek itu milik saya. Selepas menyediakan dan menandatangani cek, saya serahkan semula kepada Lian,” katanya.
Cek tersebut disediakan empat hari selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan surat setuju terima (SST) kepada Nepturis bagi projek bernilai RM141 juta itu, pada 12 Feb 2022.
Sebelum ini, seorang lagi pengarah Nepturis, Aliza Abd Malek, memberi keterangan bahawa Lian telah menyerahkan syarikat itu kepadanya dan Rizman pada 2018, masing-masing memegang 50% kepentingan, namun Lian tetap terus mengawal syarikat tersebut. Bagaimanapun, peranan dan kepentingannya tidak didedahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Amer Hamzah Arshad, Rizman berkata, beliau tidak tahu untuk apa pembayaran RM1 juta itu dibuat, dan tidak meminta sebarang penjelasan.
Apabila Hakim Noor Ruwena Nurdin kemudiannya bertanyakan soalan sama, Rizman sekali lagi menyatakan beliau tidak dimaklumkan mengenai tujuan cek tersebut.
Beliau bersetuju dengan Amer, bahawa beliau tidak menganggap pembayaran RM1 juta itu sebagai suapan, justeru tidak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Rizman juga bersetuju pengeluaran cek lebih telus, berbanding membuat pembayaran tunai kerana transaksi berkenaan akan direkodkan pihak bank.
Semasa pemeriksaan semula, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin bertanya sama ada beliau mengetahui dengan pasti tujuan cek RM1 juta itu. Rizman berkata, soalan itu sepatutnya diajukan kepada Lian.
‘Saya tak tahu langgar undang-undang’
Semasa pemeriksaan balas, Rizman bersetuju bahawa beliau dan Aliza gagal mematuhi Akta Syarikat 2016 kerana tidak mendedahkan Lian sebagai pemilik benefisial Nepturis kepada SSM.
Beliau juga bersetuju, kedua mereka tidak dituduh selepas mereka mendedahkan struktur pemilikan syarikat berkenaan kepada pegawai penyiasat SPRM.
Menjelang akhir prosiding, Noor Ruwena menyoal Rizman dengan lebih lanjut mengapa nama Lian tidak direkodkan dalam SSM walaupun beliau mempunyai kepentingan dalam syarikat itu, di mana Rizman menjawab, ia sebahagian strategi perniagaan.
Noor Ruwena: Anda kata di atas kertas, Nepturis ialah sebuah syarikat milik penuh Bumiputera, tetapi di luar pegangan saham yang didaftarkan, aturan perjanjian adalah masing-masing 35% untuk anda dan Aliza, dan 30% untuk Lian. Aturan perjanjian itu tidak direkodkan dengan SSM?
Rizman: Betul. Ia bukan satu kesalahan; ia hanyalah strategi perniagaan. Jika nama Lian dimasukkan sekali pun, syarikat itu tetap bertaraf Bumiputera. Kami mengasingkan namanya daripada syarikat supaya jika berlaku apa-apa kepada Nepturis, seperti kebankrapan, Metrasys Sdn Bhd (syarikat Lian yang lain) masih dapat teruskan operasi.
Muhyiddin, 79, berdepan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa, satu inisiatif kerajaan diperkenalkan semasa pandemik Covid-19 bertujuan membantu kontraktor Bumiputera.
Presiden Bersatu itu didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan untuk meminta rasuah RM225.3 juta bagi parti itu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis, Mamfor Sdn Bhd, dan Azman Yusoff.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Beliau juga berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity dan dimasukkan ke dalam akaun Bersatu di AmBank dan CIMB Bank.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku di AmBank di Petaling Jaya dan CIMB Bank di Jalan Stesen Sentral, antara 25 Feb 2021 hingga 8 Julai 2022.
Bicara bersambung 27 Julai.
