
SEREMBAN: Polis mengingatkan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial sepanjang PRN Negeri Sembilan ke-16 termasuk tidak menyebarkan kandungan berunsur fitnah, hasutan, penghinaan, provokasi dan berita palsu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata polis memandang serius sebarang penyebaran kandungan yang boleh menggugat ketenteraman awam, mengancam keselamatan negara serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan platform media sosial dengan memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kenyataan yang boleh membangkitkan kebencian, permusuhan, ketegangan kaum, agama, institusi diraja atau mana-mana pihak yang terlibat dalam proses pilihan raya.
“Polis tidak berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Ini termasuk dalam Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan serta undang-undang lain yang berkaitan,” menurut kenyataan.
Alzafny berkata pihaknya akan mempertingkat pemantauan terhadap kandungan media sosial sepanjang tempoh pilihan raya dan sebarang pelanggaran undang-undang akan disiasat tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu yang terlibat.
Orang ramai diminta mendapatkan maklumat daripada sumber sahih, tidak mudah terpengaruh dengan provokasi serta bersama-sama memelihara keamanan, ketenteraman awam dan keharmonian negara sekali gus memastikan proses PRN berjalan dalam suasana aman, harmoni dan mematuhi lunas undang-undang.
