
PETALING JAYA: Seorang anggota polis berpangkat inspektor mengaku tak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan meminta dan menerima rasuah RM2,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap suspek, April tahun lalu.
Tertuduh Abdul Rahman Khairuddin, 31, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan pertama, Abdul Rahman didakwa meminta suapan RM10,000 daripada seorang wanita sebagai suatu dorongan untuk tidak menuduh wanita itu dan seorang lagi bagi kesalahan mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di IPD Jeli pada 10 pagi, 2 April tahun lalu.
Abdul Rahman yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jeli juga didakwa menerima RM2,000 daripada individu sama pada 2.30 petang di lokasi dan tarikh yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Kedua-dua pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar bersama pegawai pendakwa, Rosmanazihah Othman, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Khir Khairuddin.
Ahmah Khir merayu mahkamah mengenakan jaminan yang rendah memandangkan tertuduh seorang penjawat awam dan mempunyai dua anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudiannya tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
