
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas ketua polis negara, Musa Hassan, untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan mahkamah yang mendapati beliau memfitnah Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Rhodzariah Bujang, Che Ruzima Ghazali dan Azmi Ariffin memutuskan bahawa sembilan persoalan undang-undang yang dikemukakan Musa tidak membangkitkan isu baharu yang memerlukan pertimbangan Mahkamah Persekutuan.
Persoalan tersebut antaranya menyentuh mengenai kapasiti seseorang pegawai awam untuk memfailkan saman serta penyebaran ucapan kepada orang ramai.
Dengan keputusan itu, Musa kini perlu membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Hannah Yeoh, selain RM50,000 sebagai kos guaman seperti yang diperintahkan mahkamah.
Hannah memfailkan saman tersebut pada 2020 selepas Musa mendakwa beliau cuba menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘negara Kristian’.
Dalam satu forum, Musa mendakwa terdapat satu kumpulan yang dikaitkan DAP sedang berusaha memusnahkan Islam di negara ini dan turut mendakwa Hannah menulis sebuah buku bagi ‘menjadikan negara ini sebuah negara Kristian’.
Mahkamah Rayuan pada Januari memutuskan bahawa kenyataan Musa yang dibuat dalam sebuah forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) enam tahun lalu adalah bersifat memfitnah Hannah serta menjadikannya bahan cemuhan dalam kalangan masyarakat Islam.
Mahkamah Rayuan turut memutuskan bahawa Musa telah mengaitkan ‘kumpulan’ yang dimaksudkannya dengan Hannah, sekali gus memberi gambaran bahawa beliau mempunyai kaitan politik dan agama dengan kumpulan tersebut.
Mahkamah juga mendapati tiada sebarang bukti bahawa Hannah menggunakan bukunya, ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’, untuk menyebarkan agama Kristian atau menggugat kedudukan Islam.
Dalam prosiding itu, Musa diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, manakala Hannah diwakili oleh Razlan Hadri Zulkifli.
