Polis terima 90 laporan, buka 25 kertas siasatan sepanjang kempen PRN Johor

khalid ismail
Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata kebanyakan kes disiasat lebih kepada perbuatan khianat dilakukan oleh beberapa individu tertentu dan tidak melibatkan mana-mana calon atau pemimpin parti. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis menerima 90 laporan dan membuka 25 kertas siasatan sepanjang tempoh berkempen bagi PRN Johor, kata Ketua Polis Negara Khalid Ismail.

Beliau berkata laporan polis dan kertas siasatan itu hanya membabitkan perkara kecil yang tidak menjejaskan ketenteraman awam dan masih dalam proses siasatan.

Menurutnya, ia juga tidak melibatkan mana-mana calon pilihan raya mahu pun pemimpin mana-mana parti.

“Setakat ini, kita telah menerima sebanyak 90 laporan polis sepanjang tempoh berkempen sehingga semalam.

“Kita telah membuka sebanyak 25 kertas siasatan yang kebanyakannya adalah perkara kecil yang saya percaya tidak akan menimbulkan keresahan atau ketegangan antara pengundi dan semua petugas dalam pilihan raya kali ini.

“Kebanyakan kes yang disiasat lebih kepada khianat yang mana ada beberapa individu tertentu yang disiasat kerana mengambil tindakan untuk mencabut atau cuba merosakkan atau membakar bendera dan sebagainya,” katanya pada sidang media di pusat mengundi di Johor Bahru, menurut Harian Metro.

Tambahnya, kertas siasatan yang dibuka antaranya disiasat mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau berkata polis menempatkan 14,000 pegawai dan anggota di semua 56 kerusi DUN di sepanjang tempoh pilihan raya.

Katanya, ia termasuk 5,600 pegawai dan anggota yang dihantar dari kontinjen luar untuk membantu Kontinjen Johor.

“Kita telah menempatkan seramai lebih kurang 14,000 pegawai dan anggota di seluruh negeri Johor, di 56 DUN yang dipertandingkan pada kali ini,” katanya.

Menurutnya, proses mengundi setakat ini berjalan lancar dan orang ramai diingatkan membuat laporan polis jika ada sebarang aduan atau ketidakpuasan hati di kalangan pengundi atau petugas pilihan raya.

Author: admin