4 maut konvoi RXZ di LPT

kemalangan maut rxz
Ketua Polis Kuantan Ashari Abu Samah, berkata seorang penunggang terjatuh akibat pelanggaran dengan kereta menyebabkan beberapa penunggang lain terlanggar sesama sendiri. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Empat maut dalam nahas melibatkan 12 motosikal dengan sebuah kereta dalam kejadian KM246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dekat susur keluar Plaza Tol Jabor, Kuantan, pagi tadi.

Kejadian berlaku sekitar 1 pagi ketika sekumpulan penunggang motosikal Yamaha RXZ berkonvoi menghala Kemaman, Terengganu.

Tiga mangsa meninggal dunia di lokasi nahas adalah Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, dan Mohd Aizat Husni masing-masing berusia 33 tahun, manakala Muhammad Safawi Md Noh, 24, maut ketika sedang dirawat di Hospital Tengku Ampaun Afzan (HTAA).

Ketua Polis Kuantan Ashari Abu Samah, berkata nahas dipercayai berlaku selepas sebuah motosikal merempuh belakang sebuah kereta di lorong kanan.

“Ketika ditempat kejadian, secara tiba-tiba motosikal ditunggang Che Mohd Sufian dipercayai telah terlanggar bahagian belakang kereta itu dan terjatuh di lorong kanan menyebabkan beberapa lagi penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu terlanggar sesama sendiri di atas jalan,” katanya menurut Bernama.

Ashari berkata, kemalangan turut menyebabkan seorang penumpang kereta iaitu seorang remaja 13 tahun cedera tengkuk, manakala pemandu tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Author: admin