
PAGOH: Ratusan penyokong Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mula berkumpul bagi mengiringi calon masing-masing yang bertanding di kerusi Bukit Kepong.
Mereka mula berkumpul seawal 8 pagi tadi di sekitar pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Pagoh.
DUN Bukit Kepong dijangka menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru membabitkan penyandang Dr Sahruddin Jamal yang mewakili PN, Ahmad Syarie Yusof (BN) dan C Subramani (PH).
Sahruddin yang diiringi Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, tiba di pusat penamaan calon kira-kira 8.50 pagi bersama ratusan penyokong sambil melaungkan “Hidup PN”, “Bersatu Demi Johor” serta laungan takbir.
Subramani pula diiringi Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat, bersama kira-kira 60 penyokong.
Syarie pula tiba di pusat penamaan calon bersama ratusan penyokong BN sekitar 8.55 pagi tadi.
Pada PRN lalu, Sahruddin memenangi kerusi Bukit Kepong dengan majoriti 710 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Pengundian awal ditetapkan 7 Julai ini dan hari pengundian pada 11 Julai nanti.
