
SIMPANG RENGGAM: Presiden Umno Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein antara tokoh Barisan Nasional (BN) mengiringi Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi ke pusat penamaan calon bagi DUN Machap di Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), pagi ini.
Onn Hafiz akan mempertahankan kerusi itu pada PRN Johor ke-16 pada 11 Julai depan.
Beliau turut diiringi Ahli Parlimen Simpang Renggam Hasni Mohammad dan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Khairy dan Hishammuddin diterima semula menyertai Umno di bawah gerakan Rumah Bangsa, April lalu, selepas kedua-duanya dipecat serta digantung keahlian.
Penyokong BN mula berkumpul di bilik gerakan parti di Simpang Renggam seawal 8 pagi sebelum berarak ke MDSR.
Suasana di sekitar pusat penamaan calon turut meriah dengan kehadiran penyokong Pakatan Harapan (PH), yang berkumpul bagi mengiringi calonnya Nur Hafiz Roslan.

Nur Hafiz turut diiringi beberapa pemimpin Amanah, termasuk Naib Presidennya Dr Hatta Ramli.
Penyokong PH turut melaungkan “reformasi” ketika berarak ke pusat penamaan calon.
Nur Hafiz menjadi calon pertama memasuki MDSR pada 8.54 pagi, diikuti Onn Hafiz pada 9.02 pagi.
Pada PRN Johor 2022, Onn Hafiz memenangi kerusi Machap dengan majoriti 6,543 undi.
PRN Johor ke-16 ditetapkan berlangsung pada 11 Julai ini.
