
PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menegaskan kepentingan memastikan setiap reformasi pasaran buruh dilaksanakan secara seimbang, berfasa dan berpandukan realiti industri.
Presidennya Syed Hussain Syed Husman berkata pendekatan itu penting bagi memastikan daya saing perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terus terpelihara tanpa mengetepikan kebajikan pekerja.
Katanya, ekosistem buruh yang stabil, fleksibel dan mesra pelaburan adalah asas penting kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.
“Penyertaan aktif Malaysia di ILC ke-114 Geneva membuktikan komitmen negara untuk terus berada di barisan hadapan dalam membentuk masa depan pekerjaan global.
“Pendekatan yang seimbang antara kemajuan teknologi, perlindungan pekerja dan daya saing industri adalah kunci kepada ekosistem buruh yang mampan,” katanya dalam kenyataan.
MEF turut menyokong usaha kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia, dalam memperkukuh dialog sosial dan memastikan reformasi dilaksanakan secara pragmatik, inklusif serta mengambil kira realiti industri.
Menurut MEF, kepimpinan Menteri Sumber Manusia R Ramanan yang mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-114 di Geneva memperlihatkan peranan aktif negara dalam agenda masa depan pekerjaan global.
“Agenda itu semakin penting ketika dunia pekerjaan berdepan perubahan besar, termasuk transformasi teknologi, kecerdasan buatan (AI), ekonomi gig dan perubahan struktur pasaran buruh,” katanya.
MEF berkata peluasan perlindungan sosial melalui Skim Lindung 24 Jam dan pembangunan rangka kerja perlindungan pekerja gig menerusi Akta Pekerja Gig 2025 adalah langkah penting menyesuaikan sistem perburuhan negara dengan realiti semasa.
