
PETALING JAYA: Polis memburu suspek kes bunuh seorang lelaki yang ditemukan maut akibat ditikam dalam kejadian di Kilometer 12, Jalan Trans Perak, pagi tadi.
Ketua Polis Perak Tengah, Hafezul Helmi Hamzah, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira 5.49 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa warga tempatan berusia 29 tahun dipercayai mengalami kecederaan akibat ditikam ketika pergaduhan dengan seorang lelaki yang sudah dikenal pasti.
“Mangsa kemudian dibawa ke sebuah klinik tempatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek lelaki melarikan diri selepas kejadian dengan menaiki kereta Proton Wira hitam bernombor pendaftaran WGX 3707.
Katanya, polis giat mengesan suspek dikenali sebagai Mohammad Farizzal Fazly Mohd Zulkifly, 30, beralamat terakhir di Kampung Guntur Tenggek, Batu Kikir, Negeri Sembilan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau keberadaan suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Murugan Suppiah di talian 012 6992784 atau Muhammad Aminuddin Haiqal Mohamed Masnani di 019 6751267, atau menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran.
