MIPP bincang masa depan Ahad, sumber dakwa dipelawa 3 pihak

MIPP
Sumber memaklumkan MIPP dipelawa untuk bertemu pemimpin PAS bagi membincangkan masa depan.

PETALING JAYA: Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) akan membincangkan masa depannya pada Ahad, di sebalik dakwaan ia dipelawa PAS, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional untuk bertemu, menyusuli kemelut dalam Perikatan Nasional (PN).

Presiden P Punithan berkata pimpinan MIPP akan bersidang pada Ahad berhubung hala tuju parti, berlatarakan terputusnya kerjasama antara PAS dan Bersatu — dua parti utama dalam PN.

“Kami akan tentukan masa depan kami. Jawatankuasa pusat MIPP akan bermesyuarat dan membincangkan perkara ini pada Ahad,” katanya kepada FMT, ketika ditanya sama ada parti itu akan kekal bersama PN.

Terdahulu, Gerakan menegaskan komitmen memperkukuhkan PN.

PAS mengumumkan ia menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, semalam, beberapa minggu selepas Presiden Hadi Awang memberi amaran bahawa kesabaran ‘ada batas’.

PAS juga mengumumkan ia akan meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya akan datang, dan menerima hasrat pemimpin politik untuk menyertai PAS.

Di sebalik ketetapan ini, PAS tidak menyentuh kedudukannya dalam PN, setakat ini.

Hari ini, Bersatu menyatakan dukacita akan keputusan PAS itu, namun akan terus kekal dalam PN.

Sementara itu, sumber MIPP mendakwa Punithan dipelawa untuk bertemu pemimpin-pemimpin PAS pada Khamis bagi membincangkan masa depan.

Menurutnya, MIPP merupakan parti pertama yang didekati PAS selepas terhentinya kerjasama dengan Bersatu.

“Ada juga panggilan daripada PH untuk berbincang tetapi kami akan bercakap dengan PAS terlebih dahulu,” katanya.

FMT sedang mendapatkan komen Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail.

MIPP menjadi tumpuan selepas sumber memaklumkan Umno mengundang mereka menyertai BN dalam satu pertemuan pada awal minggu lalu, di mana mereka membincangkan ‘agihan kerusi dan beberapa tawaran besar lain’.

Ketika itu, Punithan memberitahu FMT bahawa MIPP akan memaklumkan sebarang perkembangan pada masa yang sesuai.

Author: admin