Kerja potong besi dipercayai punca kebakaran bangunan Odeon

kebakaran bangunan odeon
Dalam kejadian pada 30 Mei lepas, bangunan pawagam Odeon di Jalan Penang, George Town, musnah dalam kebakaran, menyebabkan seorang pekerja asing warga Myanmar maut.

GEORGE TOWN: Kebakaran yang memusnahkan sebuah pusat hiburan di bangunan bekas pawagam Odeon di Jalan Penang pada 30 Mei lepas, mengorbankan seorang warga Myanmar, dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pemotongan besi menggunakan peralatan oksi-asetilena (oxy-acetylene).

Pengarah Bomba Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata, hasil siasatan pasukan forensik bomba mendapati kebakaran itu berlaku secara tidak sengaja ketika kerja-kerja pengubahsuaian dijalankan di premis tersebut.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari dalam premis itu menunjukkan dua daripada tiga pekerja sedang melakukan kerja pemotongan besi menggunakan set pemotong oksi-asetilena sebelum sisa leburan logam panas yang terhasil jatuh ke bawah dan menyalakan bahan mudah terbakar di situ,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata, siasatan mendapati api bermula di tingkat bawah di bahagian belakang kedai berdasarkan kenyataan daripada saksi yang terselamat.

Tambahnya, pasukan Unit Anjing Pengesan K9 turut menjalankan pemeriksaan di lokasi dan mengesahkan tiada bahan pemecut kebakaran dikesan.

Mohamad Shoki bagaimanapun berkata, nilai kerugian akibat kebakaran di bangunan warisan dua tingkat itu masih disiasat.

Dalam kejadian pada 8.50 malam itu, bangunan bekas pawagam paling ikonik dalam sejarah Pulau Pinang itu musnah dalam kebakaran, menyebabkan seorang warga Myanmar yang sedang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian turut maut.

Mohamad Boshi Sabi Ullah, 56, ditemukan di ruang tingkat bawah berdekatan dengan pintu masuk depan premis itu dengan kesan melecur tahap satu.

Author: admin