PRN Johor ujian penting buat MIC, kata penganalisis

S.A Vigneswaran
Sivamurugan Pandian berkata PRN Johor akan menjadi petunjuk jelas sama ada MIC masih relevan kepada masyarakat India.

PETALING JAYA: PRN Johor bakal menjadi ujian penting terhadap kerelevanan MIC kepada masyarakat India, komuniti yang didakwanya diwakili sejak hampir lapan dekad lalu, kata penganalisis politik.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pilihan raya itu boleh memberi gambaran mengenai hala tuju pengundi India selepas ini.

Katanya, pengundi India boleh terus mengekalkan kecenderungan mereka kepada PKR dan politik era Reformasi atau kembali kepada parti yang pernah menjadi suara mereka dalam kerajaan.

Sivamurugan berkata pengundi India kini tidak lagi bergerak sebagai satu blok besar seperti dahulu, sebaliknya berpecah mengikut pelbagai ideal politik yang dibawa parti dan gerakan berbeza.

Sivamurugan Pandian
Sivamurugan Pandian.

“Bagi MIC, PRN ini adalah soal sama ada parti itu masih boleh mendakwa dirinya relevan dari segi politik,” katanya kepada FMT.

Pengerusi MIC Johor K Raven Kumar sebelum ini berkata parti itu berhasrat bertanding di empat kerusi pada pilihan raya akan datang.

MIC memenangi tiga daripada kerusi itu — Kahang, Kemelah dan Tenggaroh — pada pilihan raya negeri 2022, tetapi tewas di Bukit Batu kepada PKR dengan majoriti hanya 137 undi.

Sivamurugan berkata bagi MIC, PRN Johor akan menjadi medan untuk parti itu membuktikan tawaran politiknya di peringkat akar umbi.

Beliau berkata walaupun parti berasaskan kaum India itu mungkin mendapat manfaat daripada momentum politik Umno di Johor ketika ini, pengundi akhirnya mungkin memilih calon berdasarkan kemampuan parti itu sendiri, bukan semata-mata berdasarkan rakan gabungannya.

MIC ialah parti komponen Barisan Nasional (BN), dengan Umno sebagai parti tunjangnya.

Peranan Umno dalam prestasi pilihan raya MIC tidak dapat dinafikan. Tenggaroh dan Kahang diwakili MIC sejak kerusi itu masing-masing diwujudkan pada 1986 dan 2004, walaupun kedua-duanya kawasan majoriti Melayu.

Kemelah pula kubu kuat Umno sehingga 2018, apabila tsunami politik menumbangkan Umno dan BN daripada kedudukan dominan. BN merampas semula kerusi itu melalui MIC pada 2022.

Sivamurugan berkata pengundi India lebih berusia yang secara tradisinya menyokong BN, selain mereka yang mengutamakan kestabilan dan kesinambungan serta kecewa dengan Pakatan Harapan (PH), lebih cenderung menyokong MIC.

Sebaliknya, katanya, pengundi India muda dan lebih urban semakin membuat pilihan politik berdasarkan isu serta calon, bukan lagi kesetiaan kepada parti.

Sivamurugan berkata kemunculan Parti Bersama Malaysia yang dikaitkan dengan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad boleh menghakis sokongan pengundi India terhadap PKR.

Jika tidak, pengundi ini mungkin kembali kepada pola pengundian tradisional dan menyokong BN.

Syaza Shukri.
Syaza Shukri.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata rancangan MIC bertanding di empat kerusi di Johor bertujuan mengukuhkan kedudukan politik parti itu.

“MIC dilihat mahu bergantung kepada peningkatan populariti BN di Johor, serta rasa tidak puas hati terhadap PH, khususnya PKR, di beberapa kawasan,” katanya kepada FMT.

Hubungan lama dengan masyarakat

Pengarah Strategi MIC C Sivaraj berkata sokongan terhadap parti itu di Johor dibina melalui hubungan bertahun-tahun dengan masyarakat India serta prestasi kerajaan negeri pimpinan BN.

C Sivaraj
C Sivaraj.

Katanya, di bawah kepimpinan Raven Kumar, MIC Johor memperkenalkan pelbagai inisiatif membabitkan pendidikan, kebajikan dan hal ehwal agama untuk manfaat masyarakat India dengan kos RM28 juta.

Beliau berkata pentadbiran Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi turut mendapat sambutan pengundi kerana memberi tumpuan kepada isu yang memberi kesan langsung kepada mereka, seperti kos sara hidup, pekerjaan, infrastruktur dan sekolah.

Sivaraj berkata sebab itu ramai pengundi India masih memandang baik BN dan MIC.

“Sentimen umum dalam kalangan masyarakat India di Johor ialah BN berorientasikan prestasi dan merupakan kerajaan yang stabil,” katanya sambil menambah MIC berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan dengan membawa suara serta masalah akar umbi.

Author: admin