Alwiyah keluar parti, Wanita Bersatu mahu penjelasan BN Johor

Pemangku Ketua Wanita Bersatu Nolee Ashilin Mohd Radzi fmt 4626
Pemangku Ketua Wanita Bersatu Nolee Ashilin Mohd Radzi berkata, sebarang perkembangan yang timbulkan tanda tanya seperti tindakan Alwiyah Talib keluar parti dan sertai Umno hanya akan undang lebih banyak persoalan.

PETALING JAYA: Wanita Bersatu mempertikaikan pengakuan Ketua Bersatu Mersing Alwiyah Talib yang mengumumkan keluar parti dan kembali menyertai Umno bahawa beliau berbuat demikian atas kehendaknya sendiri, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Pemangku Ketua Wanita Bersatu Nolee Ashilin Mohd Radzi menuntut Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi, yang juga menteri besar, menjelaskan sama ada Alwiyah ditawarkan untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) sebagai balasan meninggalkan Bersatu.

“Adakah terdapat sebarang tawaran, jaminan atau pertimbangan lain yang diberikan kepada beliau, termasuk peluang untuk bertanding atas tiket BN pada PRN akan datang?

“Menteri besar selaku pengerusi BN Johor wajar tampil memberikan penjelasan bagi menghentikan segala spekulasi yang sedang berlegar dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

“Politik yang matang dibina atas prinsip, integriti dan keyakinan terhadap sokongan rakyat. Sebarang perkembangan yang menimbulkan persepsi dan tanda tanya seperti ini hanya akan mengundang lebih banyak persoalan.”

Mengulas lanjut mengenai tindakan Alwiyah, Nolee Ashilin berkata, keputusan tersebut sudah tentu mengecewakan ramai ahli dan penyokong yang selama ini telah bersama-sama berjuang, berkorban masa dan tenaga untuk membina kekuatan parti.

Bagaimanapun, katanya, apa jua cabaran yang mendatang, Wanita Bersatu akan terus memperkukuh gerak kerja parti dan bekerja lebih keras bagi memastikan Perikatan Nasional (PN) memperoleh mandat rakyat untuk membentuk kerajaan Johor pada PRN akan datang.

Terdahulu dilaporkan Alwiyah yang sebelum ini Adun Endau mengumumkan keluar Bersatu dan kembali menyertai Umno, menyatakan bahawa keputusan itu dibuat atas kehendak sendiri tanpa pengaruh mana-mana pihak.

Beliau menegaskan bahawa tindakan itu diambil antara lainnya ‘demi kelangsungan dan masa depan yang lebih baik selain terus memperkukuh aspek penyatuan bagi DUN Endau’.

Author: admin