
PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, mengecam konvoi motosikal anjuran beberapa Adun Kelantan yang akan melalui Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, dengan menyifatkan tindakan itu sangat tidak bertanggungjawab.
Katanya, lapangan terbang adalah kawasan strategik dan keselamatan yang perlu dipelihara sepanjang masa untuk memastikan perjalanan penumpang lancar dan tidak terganggu.
“Sekiranya terdapat sebarang kesesakan yang menyebabkan penumpang terlepas penerbangan, adakah pihak penganjur bertanggungjawab untuk membayar pampasan tiket penerbangan mereka?” katanya di Facebook.
Loke turut mempersoalkan sama ada penganjur memperoleh kelulusan untuk konvoi itu.
“Sebarang konvoi bermotor juga sepatutnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Justeru, Loke mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bekerjasama dengan polis trafik mengadakan sekatan jalan raya petang ini dan memeriksa semua motosikal memasuki kawasan lapangan terbang tanpa pengecualian termasuklah wakil rakyat yang menyertai konvoi itu.
Berdasarkan poster dikongsi Loke, konvoi itu dijadualkan bermula 5 petang dianjurkan beberapa Adun dan Pemuda PAS Kelantan.
Konvoi itu dijangka berlepas dari Kota Lama, melalui kawasan lapangan terbang dan pusat bandar, sebelum berakhir berhampiran pusat beli-belah Aeon Mall Kota Bharu.
