
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Butterworth menjatuhkan hukuman penjara lapan dan 10 tahun ke atas dua beranak kerana memperdagang serta mendera pembantu rumah Kemboja mereka lebih tiga tahun.
Hakim Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman itu ke atas Teoh Beng Sim dan anak perempuannya, Teh Hooi Fung, selepas memutuskan mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Masing-masing turut didenda RM15,000 atau penjara tiga bulan, jika gagal membayar denda.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran pada 2021 dan mereka mengaku tidak bersalah.
Noor Aini dalam penghakimannya berkata, tertuduh menafikan memukul pembantu rumah itu, menyiramnya dengan air panas, tidak memberi makanan kepadanya, menekap mukanya ke bantal dan menanggalkan pakaiannya.
“Sebaliknya, mereka mendakwa mangsa dilayan dengan baik oleh keluarga,” katanya sambil menyifatkan pembelaan mereka penafian semata-mata.
Hakim turut menolak dakwaan dua beranak itu bahawa mangsa bukan saksi boleh dipercayai kerana mahu menarik balik aduannya sebelum berubah fikiran.
“Tindakannya menunjukkan dia trauma dan terdedah kepada ketakutan jangka panjang.”
Menurut fakta kes, mangsa datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah selepas dijanjikan gaji bulanan USD250.
Agensi pembantu rumah menyerahkan warga Kemboja itu bersama pasportnya kepada Teoh pada 27 Dis 2017. Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang gaji sehingga 25 Feb 2021, ketika polis menyerbu rumah dua beranak itu.
Mangsa tidak cuba melarikan diri kerana Teoh dan Teh mengugut akan “memenjarakannya” jika dia berbuat demikian dengan mendakwa “ada polis di kawasan kejiranan itu”.
Pemeriksaan perubatan mendapati terdapat lebam pada telinga kanan mangsa, selain kesan calar dan parut di mukanya.
