SDAR juara Festival Wind Orchestra SBP 2026, raih Anugerah Emas

SDAR Symphonic Band (SSB) menjuarai Festival Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) peringkat kebangsaan ke-24, baru-baru ini.

PETALING JAYA: Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) muncul johan dan meraih Anugerah Emas pada Festival Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan ke-24, menewaskan 17 pasukan lain dari seluruh negara.

Festival itu berlangsung dari 11 hingga 13 Ogos di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).

SM Sains Sultan Mahmud (SESMA), Terengganu menduduki tempat kedua, diikuti Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya, SM Sains Selangor (SMSS), Kuala Lumpur dan SM Sains Kuching (SAINSKU), Sarawak.

Menurut kenyataan media SDAR, persembahan pasukan itu menyerlah dari segi disiplin, ketepatan, kreativiti serta kesepaduan anggota.

Kejayaan berkenaan menyaksikan SDAR muncul juara pertandingan itu buat kali kedua selepas kali terakhir meraih gelaran berkenaan pada 2016.

Ia juga kejuaraan kedua pasukan itu tahun ini selepas memenangi Asian Music Games Malaysia National Qualifiers pada 7 Jun lalu. SDAR dijadual mewakili negara pada Asian Music Games September ini.

Hadiah disampaikan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Rose Aza Che Arifin.

Turut hadir Pengetua Cemerlang Sekolah Sultan Alam Shah, Nor Azam Abdullah, selaku pengelola festival, serta Pengarah Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Husalshah Rizal Hussian.

SDAR Symphonic Band (SSB) menghimpunkan pemuzik muda dalam instrumen woodwind, brass dan percussion, selain menyertai persembahan serta pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Author: admin