
HANG TUAH JAYA: PKR akan kekal berdaya tahan walaupun berdepan siri pengkhianatan yang pernah dan terus berlaku, kata Ketua Wanitanya, Fadhlina Sidek.
Beliau menyasarkan pihak dalam kerajaan perpaduan yang didakwa melemahkan parti, dalam sindiran tersirat terhadap Umno-Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini.
“Kita tahu apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Kita dengar macam-macam. Hari ini duduk bersama kita, esok runding dengan orang lain,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.
“Hari ini nak pertahankan kerajaan Madani, esok kita dengar cerita burukkan rakan sendiri. Terbang kunang di tengah malam, hinggap masuk di tiang seri, tangan kanan diajak bersalam, apa maksud pisau di tangan kiri?”
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, PKR pernah melalui pengkhianatan “lebih dahsyat lagi” merujuk tindakan lompat parti bekas Ahli Parlimen PKR yang menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.
“Kita pernah melihat kawan menjadi lawan, tetapi PKR masih ada. Sebab kekuatan parti ini tidak bergantung kepada siapa yang duduk semeja dengan kita, ia bergantung kepada kekuatan kita dalam dewan ini.
“Orang yang menjaga ranting, orang yang menghidupkan cabang, orang yang mengetuk pintu, orang yang memasang bendera. Orang yang kena maki ketika berkempen, tapi esok datang lagi. Inilah dia kekuatan PKR.
“Apa pun percaturan di luar sana, kita hadap. Apa pun ranjau yang dipasang, kita redah.”
