
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket ‘pasport terbang’ dengan penahanan tiga suspek di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata penahanan tiga individu berusia 33 hingga 41 tahun itu berdasarkan perkembangan siasatan Op Crack yang dilaksanakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jelasnya, sindiket itu mengumpul pasport warga asing sebelum salinan muka depan dokumen berkenaan dihantar ejen menerusi aplikasi WhatsApp untuk diimbas bagi mewujudkan rekod pergerakan palsu dalam sistem Jabatan Imigresen tanpa pemilik hadir di pintu masuk negara.
“Ejen mengenakan bayaran RM700 bagi setiap pasport warga asing yang menggunakan perkhidmatan sindiket ini.
“Kesemuanya ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(h) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke pejabat imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Jabatan Imigresen akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket itu dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Menurutnya, cap keselamatan imigresen, wang tunai RM20,000 dan barang kemas antara barang disita.
