RCI TH jadi ujian kematangan politik Umno, kata penganalisis

PAU2025 PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
Khairy Jamaluddin berkata Umno perlu mengakui kegagalannya dalam menguruskan Tabung Haji ketika berkuasa, susulan pendedahan laporan RCI.

PETALING JAYA: Umno berdepan ujian kematangan politik sama ada bersedia mengakui kelemahan tadbir urus Tabung Haji (TH) ketika berkuasa dan menyokong pembaharuan susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), menurut penganalisis.

Syaza Shukri berpandangan gesaan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memberi ruang kepada parti itu menunjukkan kesediaan menerima kesilapan lalu tanpa terlalu cepat menolak dapatan berkenaan.

Penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata langkah terbaik ketika ini adalah mengakui kelemahan yang berlaku kerana siasatan RCI sudah selesai, manakala sebarang tindakan lanjut harus dibenarkan sekiranya mempunyai asas.

“Jika Umno boleh mengakui memang ada kesilapan berlaku dan sekiranya ada asas untuk tindakan lanjut, biarlah siasatan diteruskan.

“Jangan terlalu cepat menolak atau mendakwa tiada apa-apa yang salah,” katanya kepada FMT.

Khairy menerusi program audio siar Keluar Sekejap dipetik berkata Umno perlu mengakui kegagalannya dalam menguruskan TH ketika berkuasa, susulan pendedahan laporan RCI mengenai pengurusan, operasi dan kewangan dana berkenaan.

Beliau turut mengkritik tindakan sesetengah pihak mempertahankan parti atas alasan laporan itu tidak membuktikan penyelewengan dana oleh pemimpin politik atau kerana TH masih mampu mengagihkan hibah kepada pendeposit.

Laporan RCI setebal 252 muka surat berhubung siasatan ke atas pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 dinyahklasifikasikan dan didedahkan minggu lalu, selepas suruhanjaya itu menyiapkannya pada Julai 2022.

Hasil siasatan RCI antara lain mendapati TH menyembunyikan keadaan sebenar kewangannya selama bertahun-tahun, dengan melaporkan keuntungan RM3.4 bilion bagi 2017, sedangkan di bawah piawaian perakaunan betul ia sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion – jurang hampir RM4.8 bilion.

Bagaimanapun, Syaza tidak menjangkakan teguran Khairy akan memberi tekanan besar kepada kepimpinan Umno atau mengubah pendirian akar umbi yang masih sukar menerima bahawa wujud kelemahan dalam pengurusan TH.

Menurutnya, kenyataan seumpama itu lazimnya dianggap pandangan peribadi, walaupun terdapat sedikit keterbukaan daripada Presiden Umno Zahid Hamidi, terhadap laporan berkenaan.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting pula melihat laporan RCI sebagai peluang Umno menunjukkan kematangan dengan mengakui kelemahan ketika parti itu memerintah.

Namun, beliau menegaskan pembaharuan tidak boleh terhenti pada pengakuan Umno kerana laporan itu turut mencerminkan kelemahan sistemik dalam tadbir urus institusi strategik negara.

Menurutnya, walaupun tiada bukti pemimpin politik menyeleweng dana pendeposit, laporan berkenaan mendedahkan keputusan pelaburan tidak berhemah, kegagalan pengawasan dan budaya membuat keputusan yang dipengaruhi kepentingan politik.

“Dalam tadbir urus moden, kegagalan bukan hanya diukur melalui jenayah, tetapi juga melalui kecuaian institusi.

“Persoalan lebih besar ialah mengapa institusi kewangan bernilai berbilion ringgit masih dikendalikan mengikut logik politik, bukannya meritokrasi,” katanya.

Author: admin