
KUALA LUMPUR: Sokongan sebahagian besar pengundi muda terhadap Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini diberikan tanpa pemahaman yang mendalam mengenai perkembangan dalaman gabungan itu, menurut Ilham Centre.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata tinjauan di lapangan mendapati pengundi berkenaan tidak sedar perbalahan sengit antara Bersatu dan PAS, yang kini mempengerusikan gabungan berkenaan.
“Apa yang (pengundi muda) tahu hanyalah PN, PN, PN…disebabkan faktor ‘slow branding’, majoriti pengundi muda tidak memahami selok-belok apa yang sebenarnya berlaku dalam gabungan itu.
“Di Johor dan Negeri Sembilan, ada dalam kalangan mereka yang bercakap mahu mengundi PN di kerusi yang langsung tidak ditandingi PN,” katanya dalam sesi perbincangan panel mengenai PRN baru-baru ini, di Universiti Malaya.
Hisommudin berkata, PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) pimpinan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, meraih keuntungan terbesar daripada trend tersebut kerana dua parti dilihat berjaya memanfaatkan jenama PN, berdasarkan keputusan PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, jenama PN sememangnya sudah bertapak kukuh dalam fikiran penyokong sedia ada.
Pada PRN Negeri Sembilan, PAS memimpin PN membentuk pakatan pilihan raya bersama Barisan Nasional (BN) menyaksikan PN menang tujuh kerusi dan BN menguasai 18 kerusi, sekali gus membentuk kerajaan negeri.
Sebagai membantah pakatan dengan BN, Bersatu memutuskan bertanding solo di 24 kerusi di bawah lambangnya sendiri, namun semua calonnya tumpas.
Kemenangan BN-PN nampak mudah
Dalam wacana panel sama, Ketua Penyelidik Ilham Centre, Yusri Ibrahim, berkata gabungan BN dan PN secara asasnya bermakna perikatan mereka mampu menang mana-mana kerusi di mana pengundi Melayu mewakili sekurang-kurangnya 40% daripada jumlah pemilih.
“Sekiranya, mereka meniru model kerjasama di Negeri Sembilan pada PRN Melaka, ini bermakna perikatan itu boleh menang 24 daripada 28 kerusi,” katanya.
Namun, Yusri berkata rundingan kerusi merupakan cabaran terbesar menjelang PRN Melaka.
Tak salah guna politik identiti
Seorang lagi ahli panel, Zaini Othman dari Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata beliau tidak melihat salahnya dalam penggunaan politik identiti di negara ini, memandangkan identiti wilayah dan kaum di Malaysia merupakan teras kepada struktur persekutuannya.
“Kaum adalah sebahagian daripada nilai politik kita. Lagipun kita sebuah persekutuan. Sentimen seperti ‘Sabah for Sabah’ dan ‘Sarawak for Sarawakians’ ada di mana-mana.
“Jika kita merampas identiti ini daripada rakyat, sudah pasti akan berlaku penentangan,” kata penganalisis politik itu.
Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) menyalahkan eksploitasi politik identiti pihak lawan atas kekalahannya pada PRN Negeri Sembilan, selepas BN-PN mencatatkan kemenangan majoriti dua pertiga.
Bekas Ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming, berkata itu adalah kenyataan yang tidak adil memandangkan PH turut mendapat manfaat daripada naratif perkauman pada pilihan raya sebelum ini.
