Tiba masa Umno jujur tentang kegagalan tadbir urus TH, kata KJ

Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata alasan sedemikian adalah ‘pertahanan lemah’ dan cubaan menghalalkan amalan tidak baik. (Gambar Keluar Sekejap)

PETALING JAYA: Umno perlu mengakui kegagalannya dalam menguruskan Tabung Haji (TH) ketika berkuasa, kata Khairy Jamaluddin susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan, operasi dan kewangan dana itu.

Beliau berkata, tiba “masa untuk Umno bersikap jujur tentang kegagalan tadbir urus” dalam TH.

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, beberapa ahli mempertahankan parti itu dengan mengatakan laporan RCI tidak membuktikan penyelewengan dana oleh mana-mana pemimpin politik.

Ada yang cuba mengalihkan tumpuan daripada kegagalan tadbir urus dengan mengatakan TH masih mampu mengagihkan “hibah”, tetapi tegasnya, alasan sedemikian adalah “pertahanan lemah” dan cubaan menghalalkan amalan tidak baik.

“Kalau kita mengakui ada kelemahan dan kegagalan urus tadbir dan juga tatakelola dalam Tabung Haji, orang akan kata, ‘Sekurang-kurangnya Umno adalah sedikit bibit-bibit perubahan, untuk bawa Umno ke arah pemulihan sebab mereka akui (kekurangan mereka)’.

“Kita tidak boleh menggunakan alasan sedemikian untuk menyembunyikan perkara ini. Apa kelemahan dan kegagalan kerajaan, kita mesti akui,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap malam tadi.

Laporan RCI setebal 252 halaman berhubung siasatan ke atas pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 dinyahklasifikasikan serta dikeluarkan Rabu lalu. Laporan itu disiapkan pada Julai 2022.

RCI mendapati, antara lain, TH menyembunyikan keadaan sebenar kewangannya selama bertahun-tahun, melaporkan keuntungan RM3.4 bilion untuk 2017, sedangkan sepatutnya mencatat kerugian bersih RM1.4 bilion di bawah piawaian perakaunan betul – kekurangan hampir RM4.8 bilion.

Hos bersama Khairy, Shahril Hamdan berkata, laporan RCI yang dinyahklasifikasikan itu memberi peluang kepada Umno untuk menunjukkan “kematangan, rendah diri dan menginsafi” segala kekurangannya.

Bekas ketua penerangan Umno itu berkata, parti berkenaan tidak boleh menganggap kemenangannya dalam dua PRN baru-baru ini sebagai bukti ia tidak perlu mereformasi diri atau memohon maaf.

Katanya, Umno perlu sedar momentum yang dinikmatinya sekarang boleh berubah.

“Bila ada peluang untuk buat benda elok, anda tak buat, dunia atau Tuhan ada cara untuk menghukum anda. Jadi, jangan lepaskan peluang yang ada.”

Author: admin