RXZ Members: Nostalgia yang ternoda

RXZ Members

Bagi peminat Yamaha RXZ, perjalanan ke Terengganu setiap tahun lebih daripada sekadar menghadiri perhimpunan. Ia adalah perjalanan menemukan sahabat, menghidupkan nostalgia dan meraikan sebuah komuniti yang mereka banggakan.

Ada yang datang bersama kelab motosikal, ada yang berkonvoi dengan rakan seperjuangan, malah ada yang sanggup menunggang ratusan kilometer hanya untuk bertemu individu sebelum ini hanya dikenali melalui media sosial.

Bagi mereka, RXZ Members ibarat ‘hari raya’ komuniti pemilik dan peminat motosikal legenda itu.

Ia menjadi ruang untuk berkongsi cerita, mengenang zaman lalu dan membuktikan bahawa sebuah motosikal yang sudah dihentikan pengeluaran sejak 2011 itu masih mampu menyatukan peminat daripada pelbagai latar belakang.

Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan itu, persoalan sama terus berulang setiap tahun — mengapa perhimpunan yang dibina atas semangat persaudaraan masih dibayangi tragedi dan kecaman?

Fenomena tak dijangka

RXZ Members bermula pada 2017 sebagai pertemuan kecil melibatkan kira-kira 2,000 pemilik motosikal berkenaan.

Dalam tempoh beberapa tahun, ia berkembang menjadi antara acara permotoran terbesar negara dengan menarik peminat dari seluruh Malaysia, malah peserta dari Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia.

Pada RXZ Members 8.0 baru-baru ini, penganjur mendakwa kehadiran melebihi 200,000 peserta, mengatasi rekod sekitar 160,000 dicatatkan edisi sebelumnya. Angka itu bukan sekadar jumlah kehadiran. Ia menggambarkan kekuatan sebuah komuniti yang terbentuk daripada minat, nostalgia dan persahabatan.

Pada masa sama, acara itu turut memberi limpahan ekonomi kepada Terengganu apabila hotel, inap desa, restoran, gerai makanan dan peniaga aksesori motosikal menerima pertambahan pelanggan.

Jelas, RXZ Members bukan lagi sekadar pertemuan peminat motosikal, sebaliknya sudah menjadi fenomena. Namun, semakin besar sesuatu acara, semakin besar juga tanggungjawab perlu dipikul.

Kemeriahan dibayangi tragedi

Setiap tahun apabila motosikal memenuhi jalan raya menuju negeri Pantai Timur itu, kebimbangan mengenai keselamatan turut muncul. Bukan kerana majoriti peserta tidak menghormati undang-undang, tetapi tindakan segelintir individu akhirnya memberi kesan kepada keseluruhan komuniti.

Kemalangan maut membabitkan peserta terus menjadi bayangan gelap kepada acara ini.

Menurut laporan, tidak kurang 13 kematian peserta RXZ Members direkodkan dalam tiga edisi terakhir program apabila terbabit kemalangan, termasuk yang diadakan pada tahun ini.

Malah, dalam operasi penguatkuasaan sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 yang berakhir 1 Ogos lalu, sebanyak 1,850 saman dikeluarkan dan 222 motosikal disita atas pelbagai kesalahan.

Angka itu mungkin sekadar statistik di atas kertas, tetapi bagi keluarga yang kehilangan insan tersayang, ia membawa makna jauh lebih besar. Di sebalik setiap angka, ada seseorang yang tidak pulang, seorang sahabat yang dirindui atau sebuah keluarga yang terpaksa menerima kehilangan.

Tiada siapa menyertai RXZ Members dengan niat untuk terlibat dalam tragedi.

Namun, tindakan seperti menunggang secara melulu, melakukan aksi berbahaya atau mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya lain mencalar imej komuniti yang selama ini dibina dengan semangat persaudaraan.

Lebih membimbangkan, setiap kali musim RXZ Members berakhir, perbualan di media sosial bukan lagi berkisar tentang persaudaraan atau manfaat ekonomi kepada Terengganu. Sebaliknya, perhatian lebih tertumpu kepada rakaman aksi berbahaya, kemalangan dan jumlah saman dikeluarkan.

Ruang komen pula dipenuhi kritikan serta kebimbangan masyarakat yang mempersoalkan sikap segelintir peserta sehingga menjejaskan nama keseluruhan komuniti.

Hakikatnya, satu rakaman negatif yang tular mampu menenggelamkan ribuan contoh baik daripada peserta yang mematuhi undang-undang.

Peringatan JPJ

Kebimbangan masyarakat dan pengguna jalan raya akhirnya membawa kepada pendirian lebih tegas daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah, Aedy Fadly Ramli, memberi amaran pihaknya tidak akan lagi menyokong penganjuran RXZ Members jika sikap segelintir peserta yang menunggang secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain terus berulang.

Kenyataan itu perlu dilihat sebagai peringatan, bukan usaha untuk mematikan komuniti RXZ. Sebuah acara yang menghimpunkan ratusan ribu manusia memerlukan disiplin yang lebih tinggi.

Semangat persaudaraan tidak seharusnya berhenti apabila enjin dihidupkan. Ia perlu diterjemahkan melalui sikap bertanggungjawab di jalan raya.

Menjaga sebuah legasi

RXZ Members mempunyai sesuatu yang tidak mudah diwujudkan — sebuah komuniti yang mempunyai jiwa dan identiti tersendiri, tetapi setiap legasi perlu dijaga.

Kumpulan itu sendiri perlu menjadi pihak pertama menegur rakan yang membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain. Menjaga nama RXZ Members bukan sekadar tentang mempertahankan sebuah motosikal legenda.

Ia tentang menjaga manusia yang berada di atasnya serta nama baik komuniti yang dibina sejak bertahun-tahun. Kejayaan RXZ Members bukan diukur melalui jumlah motosikal yang memenuhi lokasi acara atau tontonan di media sosial.

Kejayaan sebenar apabila semua peserta kembali ke pangkuan keluarga tanpa sebarang kecelakaan. RXZ Members boleh terus menjadi simbol kebanggaan komuniti permotoran negara, namun sebuah legasi besar tidak sepatutnya dibayar dengan kehilangan nyawa atau terus dibayangi persepsi negatif akibat tindakan segelintir peserta.

Malah, slogan rasmi acara ‘Yang Santai Pasti Sampai’ sepatutnya menjadi pegangan setiap peserta. Semangat sebenar sebuah komuniti permotoran bukan diukur pada kelajuan atau keberanian di jalan raya, tetapi tanggungjawab memastikan setiap yang hadir, tiba dan pulang dengan selamat.

Penulis ialah timbalan pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Author: admin