Kerjasama politik sentiasa hadir dengan kompromi, kata Nik Nazmi

NIK NAZMI
Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sekiranya tujuan utama politik untuk jadi Adun, Ahli Parlimen atau menteri, beliau dan seorang lagi pemimpin Bersama, Rafizi Ramli sudah pun mencapai kedudukan itu.

PETALING JAYA: Pemimpin Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kerjasama politik dengan parti lain terutama yang berpengaruh ‘hampir sentiasa memerlukan kompromi’.

Kenyataan itu dibuat susulan cadangan supaya Bersama bekerjasama dengan parti-parti yang lebih berpengaruh bagi meningkatkan peluang memenangi kerusi dalam pilihan raya.

Menerusi hantaran di Threads, Nik Nazmi berkata kompromi tersebut bukan sahaja melibatkan soal politik, malah turut menyentuh aspek dasar, yang akhirnya boleh menjejaskan prinsip sesebuah parti.

“Inilah antara sebab mengapa begitu ramai rakyat Malaysia menjadi sinis terhadap politik sejak awal lagi.”

Bekas naib presiden PKR itu mengulas pandangan penganalisis politik dan kolumnis FMT, Tajuddin Rasdi, yang semalam menyatakan bahawa kemenangan Parti Wawasan Negara (Wawasan) dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos wajar dijadikan pengajaran oleh Bersama.

Menurut Tajuddin, parti-parti baharu perlu bergabung dengan parti yang lebih kukuh dan berpengaruh.

Dalam PRN itu Wawasan memenangi tiga daripada empat kerusi yang ditandinginya di bawah logo Perikatan Nasional (PN).

Nik Nazmi kemudian mempersoalkan parti manakah yang dimaksudkan Tajuddin untuk dijadikan rakan kerjasama oleh Bersama.

“Adakah dengan Bersatu?, yang memperoleh lebih sedikit undi di Negeri Sembilan berbanding Bersama di Johor. Atau gabungan baharu BN-PN?, yang kini kelihatan seperti perkahwinan atas dasar kepentingan dan mungkin akan runtuh akibat percanggahan dalaman sendiri.”

Beliau turut berkata Pakatan Harapan (PH) menjadi ‘terlalu lambat’ melaksanakan banyak pembaharuan institusi dan ekonomi yang pernah dijanjikan.

Menurut Nik Nazmi, jika tujuan utama berpolitik hanyalah untuk menjadi Adun, Ahli Parlimen atau menteri Kabinet, beliau dan seorang lagi pemimpin Bersama, Rafizi Ramli, sudah pun mencapai kedudukan tersebut.

Katanya, beliau dan Rafizi tidak menubuhkan Bersama kerana mahukan satu lagi jawatan tetapi kerana mahu memperjuangkan pembaharuan dan menawarkan satu alternatif.

“Akhirnya, rakan paling berpengaruh yang patut dicari oleh mana-mana parti politik bukanlah parti politik lain, tetapi rakyat Malaysia itu sendiri,” katanya.

Author: admin