Kembalikan pasukan elit polis, kata pemimpin MCA

Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (Stagg) ditubuhkan untuk memberkas ‘jerung’. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin MCA mendesak kerajaan menubuhkan semula tiga unit elit polis yang dibubarkan pada 2018, sambil menyatakan ketiadaan unit sedemikian melemahkan usaha menentang jenayah terancang dan sindiket dadah.

Naib Presiden MCA, Lawrence Low, berkata Pasukan Khas Taktikal Narkotik (Sting), Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (Stagg) serta Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) pernah menjadi ‘igauan ngeri’ sindiket jenayah.

Katanya, pembubaran unit berkenaan pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu telah mewujudkan kelompongan besar dalam keupayaan taktikal dan perisikan polis membanteras jenayah terancang serta kartel dadah antarabangsa.

“Kita semua pastinya bimbang dan kecewa dengan trend peningkatan kes jenayah, khususnya yang melibatkan sindiket pengedaran dadah dan jenayah terancang yang semakin meruncing mutakhir ini.

“Kelompongan dalam penguatkuasaan khusus untuk menangani isu ini tidak boleh lagi dipandang remeh oleh pihak kerajaan,” katanya dalam catatan di Facebook.

Low merujuk kes terbaharu rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara selepas cuba menyeludup dadah, termasuk seorang juruterbang yang ditangkap di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup 26kg dadah.

“Insiden-insiden seperti ini jelas menunjukkan bahawa sindiket dadah dan jenayah terancang semakin berani dan tidak lagi gerun dengan sistem penguatkuasaan sedia ada.

“Oleh yang demikian, diharapkan kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Dalam Negeri dapat mengembalikan segera pasukan Stagg, Sting, dan Stafoc.”

Stagg ditubuhkan untuk memberkas ‘jerung’ yang terlibat dalam sindiket maksiat dan perjudian tempatan serta antarabangsa, manakala Sting menyasarkan sindiket dan pengedar dadah paling tegar.

Stafoc pula ditubuhkan memburu ketua kumpulan kongsi gelap dan mereka yang terlibat dalam gengsterisme serta jenayah berat.

Kerajaan membubarkan ketiga unit itu pada Jun 2018 atas alasan wujud pertindihan tugas yang membawa kepada sikap tuduh-menuduh antara satu sama lain.

Kementerian Dalam Negeri berhujah pembubaran tersebut tidak akan menyebabkan peningkatan kadar jenayah, sebaliknya membolehkan penyelarasan lebih baik.

Selepas pertukaran kerajaan, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Hamzah Zainudin, berkata pada 2021 bahawa tiada perancangan menghidupkan semula unit tersebut kerana tiada keperluan.

Author: admin