‘Runding tak semestinya setuju’ isyarat BN sedia tanding solo di Melaka

penyokong bendera bn
BN kini menguasai pentadbiran Melaka dengan majoriti dua pertiga di DUN.

PETALING JAYA: Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Ab Rauf Yusoh rundingan politik tidak semestinya berakhir persetujuan memberi isyarat gabungan itu bersedia bertanding secara solo pada PRN Melaka.

Mazlan Ali berkata, pendirian itu juga menunjukkan BN tidak terdesak di sebalik bayangan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) seperti disuarakan Pengerusinya Zahid Hamidi selepas keputusan PRN Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Persefahaman BN-PN berjaya memenangi 25 daripada 36 DUN sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga untuk mentadbir Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, kenyataan Rauf itu mencerminkan kepercayaan Umno masih mempunyai kekuatan mencukupi untuk mempertahankan Melaka tanpa bergantung kepada parti lain.

mazlan ali
Mazlan Ali.

“Jika di Negeri Sembilan dan Johor mereka boleh bekerjasama dengan PN, ruang sama juga terbuka di Melaka.

“Namun, ia tidak semestinya berakhir dengan persetujuan… ini bermakna BN juga boleh bertanding solo,” katanya kepada FMT.

Mazlan mengulas kenyataan Rauf yang juga ketua menteri Melaka pada Ahad, BN terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menghadapi PRN Melaka menerusi formula ‘BN Plus’.

Rauf yang juga ketua Umno Melaka berkata, pintu rundingan dibuka seluas-luasnya, tetapi perbincangan itu tidak semestinya membawa kepada perjanjian atau persetujuan kerana ia bergantung kepada kelebihan yang ditawarkan setiap pihak.

PRN Melaka perlu diadakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berpandangan kenyataan Rauf lebih ditujukan kepada PN berbanding Pakatan Harapan (PH).

Azmi Hassan.

Katanya, sebagai parti yang menerajui kerajaan negeri, Umno berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk menentukan syarat rundingan, termasuk pembahagian kerusi.

“Ini mesej kepada PN bahawa mereka tidak boleh menuntut kerusi yang sedang dimiliki Umno di Melaka, seperti formula yang digunakan di Negeri Sembilan.

“Jika PN tidak bersetuju, BN masih mempunyai pilihan untuk berunding dengan PH,” katanya.

Author: admin