Keputusan Mukhriz cabar cukai taksiran tambahan RM5 juta ditetap 16 Nov

Mukhriz Mahathir memohon untuk membatalkan notis taksiran cukai tambahan yang dikeluarkan bagi tahun taksiran 2017, 2018 dan 2019.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 16 November untuk menyampaikan keputusan berhubung semakan kehakiman difailkan Mukhriz Mahathir bagi mencabar taksiran cukai tambahan hampir RM5 juta yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Azizan Arshad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Mukhriz, Nizamuddin Hamid dan Marina Ibrahim yang mewakili LHDN.

Nizamuddin berhujah bahawa Mahkamah Tinggi, dan bukannya Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), mempunyai bidang kuasa yang sesuai untuk mendengar kes itu kerana cabaran Mukhriz tertumpu kepada kesahan notis taksiran tambahan, bukan jumlah cukai yang dikenakan.

Beliau berkata notis tersebut tidak sah kerana dikeluarkan selepas tamat tempoh had lima tahun yang ditetapkan di bawah Akta Cukai Pendapatan.

Menurutnya, jika LHDN mahu mengeluarkan taksiran selepas tempoh berkanun itu, ia perlu menyatakan bahawa lanjutan tempoh dibuat berdasarkan alasan penipuan, keingkaran disengajakan atau kecuaian.

“Notis taksiran tambahan itu dikeluarkan tanpa menggunakan mana-mana tiga alasan tersebut. Ini menjadikan notis itu tidak sah. Jika alasan itu dinyatakan, kami akan membawa perkara ini ke SCIT,” katanya.

Nizamuddin berkata LHDN hanya memaklumkan selepas semakan kehakiman difailkan bahawa pihaknya bergantung kepada dakwaan kecuaian bagi mewajarkan pengeluaran taksiran selepas tempoh berkanun.

Beliau turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mukhriz telah melangsaikan taksiran tambahan bagi tahun taksiran 2019.

Bagaimanapun, Marina berhujah bahawa taksiran tersebut dikeluarkan selepas tempoh berkanun kerana LHDN telah memberikan lanjutan masa kepada Mukhriz untuk mengemukakan maklumat dan dokumen yang diminta semasa siasatan.

“Pada masa itu, lanjutan diberikan untuk menyediakan dokumen dan adalah tidak adil untuk menggunakan perkara itu terhadap responden,” katanya.

Beliau berhujah bahawa SCIT merupakan saluran sesuai kerana menentukan sama ada taksiran itu melepasi tempoh had memerlukan penelitian fakta, yang berada dalam bidang kuasa tribunal berkenaan.

Marina turut berkata Mahkamah Tinggi dalam bidang kuasa semakan kehakiman tidak sepatutnya menentukan isu yang memerlukan penelitian fakta berkaitan taksiran cukai.

Mukhriz, salah seorang anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, memohon membatalkan notis taksiran cukai tambahan bagi tahun taksiran 2017, 2018 dan 2019 masing-masing berjumlah RM2,558,875.90, RM2,445,004.91 dan RM16,826.37.

Mahkamah Tinggi sebelum ini memberikan kebenaran kepada Mukhriz, yang juga presiden Pejuang, untuk meneruskan semakan kehakiman itu pada Januari tahun lalu serta menangguhkan penguatkuasaan taksiran yang dipertikaikan sehingga kes diputuskan.

Author: admin