Jawatankuasa diberi tempoh 3 bulan teliti RUU Kebebasan Maklumat, Bidang Kuasa Admiralti

Menteri di JPM (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, kata jawatankuasa pilihan khas Parlimen diberi tempoh 3 bulan untuk teliti RUU Kebebasan Maklumat dan RUU Bidang Kuasa Admiralti. (Gambar Parlimen)

PETALING JAYA: Dua jawatankuasa pilihan khas Parlimen diberi tempoh tiga bulan bagi melaksanakan penelitian menyeluruh berhubung Rang Undang-undang (RUU) Kebebasan Maklumat dan RUU Bidang Kuasa Admiralti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, mengumumkan jawatankuasa berkenaan akan mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam proses ini.

Beliau mengumumkan perkara tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan, bagi meneliti secara lanjut dua RUU tersebut seperti yang dipersetujui oleh Dewan Rakyat pada Julai.

“Kedua-dua jawatankuasa yang memulkakan mesyuarat pada hari ini akan meneruskan beberapa siri mesyuarat masing-masing sebelum memuktamadkan penelitian dan syor penambahbaikan untuk dikemukakan kepada Parlimen yang dijangka pada sidang berikutnya,” menurut kenyataan.

Cadangan penggubalan RUU Kebebasan Maklumat adalah bagi memperkukuh hak rakyat terhadap akses kepada maklumat melalui kerangka perundangan yang seimbang, telus dan bertanggungjawab.

Cadangan penggubalan RUU Bidang Kuasa Admiralti pula bertujuan memodenkan kerangka perundangan maritim selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Katanya, libat urus akan diadakan dengan kementerian dan agensi kerajaan, pakar perundangan dan ahli akademik, badan profesional dan pemain industri, Majlis Peguam, serta wakil NGO dan pertubuhan masyarakat sivil yang relevan.

Author: admin