
PETALING JAYA: Kesediaan PAS memberikan lebih banyak kerusi kepada Umno seperti di Johor dan Negeri Sembilan bakal menjadi persoalan utama jika Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) bekerjasama pada PRN Melaka, kata penganalisis.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Yusri Ibrahim, berkata kerjasama BN-PN di Johor dan Negeri Sembilan lebih mudah diurus kerana Umno berada dalam kedudukan dominan manakala PAS sanggup bertindak sebagai pelengkap dengan menyerahkan lebih banyak kerusi kepada parti itu.
Namun, katanya, keadaan politik Melaka jauh berbeza apabila Umno dan PAS masing-masing mempunyai alasan untuk mendakwa mereka berada dalam kedudukan lebih kuat.
Menurutnya, pada PRN Melaka 2021, Umno mengetuai BN mencapai kemenangan besar dengan menguasai majoriti kerusi DUN dan membentuk kerajaan negeri.
Jelasnya, keadaan berubah pada PRU15 pada November 2022 apabila BN kalah di semua enam kerusi Parlimen manakala PN menang tiga kerusi menerusi PAS di Tangga Batu dan Jasin, manakala Bersatu menguasai Masjid Tanah.
“Bahkan jika dicerakin undi Parlimen itu mengikut kerusi DUN, PN jauh meninggalkan BN, 10-4.
“Maksudnya dalam konteks Melaka, ukuran dalam pilihan raya terakhir, PN lebih kuat berbanding BN, PAS lebih kuat berbanding Umno,” katanya di Facebook.
Yusri berkata, dalam situasi itu timbul persoalan: “Adakah PAS akan terus menjadi pemberi yang pemurah seperti di Johor dan Negeri Sembilan?
“Pada masa sama adakah Umno sanggup memberi lebih kepada PAS dalam keadaan mereka dominan mengetuai kerajaan Melaka sekarang?,” katanya yang bagaimanapun menyifatkan PRN Melaka hanya sebagai pemanas badan hubungan keduanya.
Sabtu lalu, Presiden PAS Hadi Awang dipetik berkata formula kerjasama seperti di Johor dan Negeri Sembilan tidak semestinya diulang di Melaka kerana ia tertakluk kepada perkembangan serta keadaan politik setempat.
Beliau turut merujuk ketiadaan wakil BN di kerusi Parlimen di Melaka.
Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh, pada Ahad pula berkata pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak menerusi formula ‘BN Plus’, namun menegaskan rundingan tidak semestinya menghasilkan persetujuan.
PAS sebelum ini mengumumkan hasrat bertanding di 16 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka termasuk mencabar Rauf di Tanjung Bidara.
Antara kerusi disasarkan parti itu ialah Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang, Ayer Limau, Kuala Linggi, Rembia, Durian Tunggal, Pengkalan Batu, Duyong, Merlimau dan Serkam.
