
PETALING JAYA: Bekas menteri luar Saifuddin Abdullah menuntut menteri dalam negeri membuat kenyataan menteri di Parlimen menjelaskan rancangan kerajaan menghantar 5,000 pelarian Rohingya ke Myanmar.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, berkata kenyataan tersebut perlu bagi memberi penjelasan berkait pelaksanaan Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23, dasar keseluruhan kerajaan terhadap pelarian Rohingya, serta bagaimana menangani isu tersebut secara sah dan telus.
“Bertahun lamanya Malaysia secara konsisten menegaskan sebarang penghantaran pulang mestilah selamat, sukarela, dan bermaruah, serta keadaan di Myanmar mestilah membolehkan kepulangan yang mampan. Adakah ini masih menjadi dasar kerajaan?” katanya dalam kenyataan.
Saifuddin turut mempersoalkan apakah jaminan diberikan Myanmar berhubung kewarganegaraan, status undang-undang, keselamatan, kebebasan bergerak, dan perlindungan jangka panjang bagi mereka yang mungkin dihantar pulang.
Beliau turut membangkitkan sama ada kerajaan mengubah pendirian terhadap junta Myanmar, yang sebelum ini ditegaskan oleh Malaysia sebagai tidak sah dan gagal melaksanakan konsensus lima perkara Asean.
Beliau turut mengutarakan sama ada kerajaan kini dalam proses menormalisasikan hubungan dengan junta menerusi urusan pemulangan pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan dan keganasan mereka.
“Parlimen dan rakyat Malaysia berhak mendapat jawapan jelas mengenai isu menyentuh teras komitmen kemanusiaan, ketekalan dasar luar serta reputasi antarabangsa Malaysia,” katanya.
Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya telah memulakan proses mengenal pasti, mendokumentasikan, dan menyaring pelarian Rohingya susulan rancangan kerajaan menghantar pulang 5,000 masyarakat itu.
Malaysia menampung antara populasi Rohingya terbesar rantau ini, di mana kebanyakan mereka melarikan diri daripada penindasan di Rakhine, Myanmar. Terdapat sekitar 215,000 pelarian berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini, dengan kira-kira 126,000 daripada mereka merupakan etnik Rohingya.
Pada 2021, Malaysia mengusir lebih 1,000 warganegara Myanmar menaiki kapal walaupun terdapat perintah mahkamah menangguhkan tindakan berkenaan, sambil kumpulan hak asasi mendakwa pencari suaka dan pelarian berdaftar UNHCR antara dihantar pulang.
Malaysia bukan sebuah negara penandatangan Konvensyen Pelarian PBB dan menganggap pencari suaka sebagai pendatang asing tanpa izin, baru-baru ini meminta UNHCR menghentikan pendaftaran pelarian baharu secara sementara, sementara ia membangunkan sistem domestik bagi menguruskan pencari suaka.
