Pencuri kabel rel akan berdepan denda sampai RM100,000

mrt
Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah, berkata kes curi kabel catat nilai lonjakan kerugian RM50 juta merentasi rangkaian KTMB, Prasarana Malaysia Berhad, dan ECRL.

PETALING JAYA: Pencuri kabel di fasiliti rel negara akan berdepan tindakan lebih berat susulan langkah kerajaan memperhalusi undang-undang mengenakan denda sehingga RM100,000, berbanding hanya RM1,000 ketika ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah, berkata cadangan menaikkan kadar denda itu dijangka dibentang pada sesi Parlimen akan datang.

Beliau berkata, pindaan undang-undang tersebut amat mendesak memandangkan hukuman sedia ada disifatkan terlalu ringan, berbanding kesan kerosakan serta kelewatan operasi tren yang terpaksa ditanggung pengendalinya.

“Kita akan meminda undang-undang ini sampai mencecah RM100,000 setiap kesalahan. Ia dalam proses dan insya-Allah mungkin hujung tahun ini dalam sesi seterusnya akan dibawa ke dalam Dewan ini,” katanya menurut Bernama pada sesi soal jawab Dewan Negara.

Hasbi berkata, langkah itu turut didorong lonjakan kes kecurian kabel yang mencatatkan nilai kerugian keseluruhan mencecah RM50 juta merentasi rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Prasarana Malaysia Berhad dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Katanya, 71 kes kecurian kabel direkodkan di sepanjang jajaran projek ECRL dengan anggaran kerugian RM4.06 juta, manakala 13 kes kecurian serta kerosakan peralatan dan bahan lain berkaitan sistem mengakibatkan kerugian RM0.69 juta.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM4.75 juta. Walaupun ECRL masih berada dalam fasa pembinaan dan belum melibatkan gangguan perjalanan kepada pengguna, insiden tersebut berpotensi menjejaskan jadual pelaksanaan projek, termasuk kerja-kerja pemasangan, pengujian, pentauliahan dan persediaan operasi,” katanya.

Bagi memperkukuh kawalan keselamatan di lapangan, Hasbi berkata kerajaan kini dalam proses memasang 1,146 kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang jajaran landasan dari Johor hingga ke utara tanah air.

Selain itu, beliau berkata KTMB turut memperoleh 20 unit motosikal scrambler untuk kegunaan polis bantuan memperketat rondaan 24 jam, selain melaksanakan kawalan fizikal seperti penutupan lurang berkeselamatan tinggi dan penggunaan anjing pengesan (K9).

Author: admin