MBKT tanggung RM40,000 bersih 130 tan sampah di tapak RXZ Members 8.0

rxz member fb
Datuk Bandar Kuala Terengganu Lizan Che Mamat berkata MBKT akan meneliti cadangan mewajibkan penganjur program mengemukakan pelan pengurusan sisa pepejal sebagai syarat kelulusan sebarang penganjuran acara berskala besar kelak. (Gambar Facebook)

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menanggung kos sebanyak RM40,000 bagi operasi pembersihan sampah di tapak program RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak dekat Kuala Nerus yang berlangsung dari Jumaat hingga Sabtu lalu.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mamat, berkata kos itu membabitkan bayaran kerja lebih masa petugas, tambahan perjalanan lori serta waktu operasi di tapak pelupusan sampah di Sungai Ikan, di sini.

Walaupun pihaknya sudah menyediakan tong sampah di lokasi itu, katanya, masih ada segelintir peserta yang membuang sampah merata-rata.

“Sekitar 130 tan sisa pepejal, terutama plastik makanan dan minuman dikutip di tapak program RXZ Members 8.0. Jadi kita terpaksa menambah bilangan trip kutipan sampah dan petugas MBKT juga terpaksa bekerja lebih masa memastikan kebersihan bandaraya terjaga.

“Kami memahami kemungkinan bilangan tong sampah yang disediakan tidak mencukupi kerana jumlah peserta yang datang melebihi 100,000 orang, tetapi sepatutnya sampah dikumpul di suatu tempat, bukannya dibuang merata-rata,” katanya ketika dihubungi.

Susulan itu, Lizan berkata, MBKT akan meneliti cadangan mewajibkan penganjur mana-mana program mengemukakan pelan pengurusan sisa pepejal sebagai syarat kelulusan sebarang penganjuran acara berskala besar kelak.

Jelasnya, kadar deposit pembersihan juga akan dinilai semula bagi mengurangkan beban ditanggung pihak berkuasa tempatan.

“Kami amat mengalu-alukan penganjuran sebarang aktiviti atau program berskala besar di Terengganu kerana ia akan merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi. Namun, kita ingin mengingatkan tugas menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama.”

Author: admin