Kempen fitnah punca saya kalah di Chennah, kata Loke

Anthony Loke Siew Fook
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook bercakap kepada wartawan dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi parti itu di Kuala Lumpur malam ini.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook mendakwa kempen fitnah menyasarkannya sepanjang PRN Negeri Sembilan mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan pengundi Melayu sehingga menyumbang kepada kekalahannya di DUN Chennah.

Bekas Adun Chennah selama tiga penggal itu berkata, saingan untuk kerusi campuran itu paling sukar sepanjang 22 tahun beliau bertanding dalam pilihan raya.

“Ia adalah kempen paling sukar dalam sejarah pilihan raya saya selama 22 tahun. Banyak serangan peribadi, banyak fitnah dan tuduhan tidak berasas, termasuk dakwaan saya mahu merampas kuasa politik orang Melayu dan menguasai kerajaan negeri.

“Dakwaan sedemikian mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan penduduk kampung dan pengundi Melayu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi DAP di ibu pejabat parti itu di sini.

Jelasnya, beliau secara peribadi ditanya pengundi Melayu sama ada mahu menjadi menteri besar dan ini menunjukkan kesan kempen fitnah terhadapnya.

Loke bagaimanapun tidak kesal dengan kekalahan itu kerana sebagai pemimpin parti, beliau perlu berani menyahut cabaran bertanding di kerusi sukar.

“Kami tetap bertahan dan berjuang sehingga saat terakhir dan masih memperoleh 47% undi, termasuk kira-kira 20% hingga 25% sokongan daripada pengundi Melayu.

“Kami tewas hanya dengan beberapa ratus undi dan itu adalah proses demokrasi yang perlu dihormati.”

Menteri pengangkutan itu tewas kepada calon Barisan Nasional, Siow Kong Choon dengan majoriti 688 undi pada PRN Sabtu lalu.

Terdahulu, Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi DAP Negeri Sembilan, yang diterajuinya selama 22 tahun, atas rasa tanggungjawab terhadap kekalahan di DUN Chennah dan Repah.

Author: admin