
KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin Myanmar ditahan, Aung San Suu Kyi, menemui wakil Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada Isnin, menurut jurucakap kerajaan Myanmar ketika negara serantau terus mendesak akses diberikan kepada tokoh berusia 81 tahun itu.
Pemenang Hadiah Keamanan Nobel itu ditahan sejak Februari 2021, selepas kerajaan dipilih rakyat dan pimpinannya diguling tentera Myanmar menerusi rampasan kuasa pada awal pagi, sekali gus mencetuskan pergolakan di negara Asia Tenggara itu.
Sejak itu, lokasi sebenar dan keadaan kesihatan Suu Kyi sukar dipastikan, selain tiada pemimpin atau utusan asing yang pernah mengadakan pertemuan dengannya secara terbuka.
Suu Kyi menemui Arnaud de Baecque, wakil tetap ICRC ke Myanmar, di ibu negara Naypyidaw, kata jurucakap kerajaan, Khine Khine Soe menerusi mesej di Telegram.
Setakat ini, ICRC belum memberi maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan ulasan.
Dua daripada empat gambar yang dikongsikan jurucakap kerajaan menunjukkan Suu Kyi yang berpakaian tradisional Myanmar menemui Baecque di sebuah bilik berdinding kayu serba ringkas dan hanya dilengkapi dua kerusi serta sebuah meja.
Satu lagi gambar memberikan gambaran jarang dilihat mengenai kediamannya, Suu Kyi dilihat memotong kek hari jadi tertera namanya, dengan rak pakaian dan kotak simpanan kelihatan di latar belakang.
Gambar keempat pula menunjukkan paparan dekat kek berkenaan yang tertera tulisan “Happy Birthday Aunty Suu 19.6.2026”.
Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas lokasi serta tarikh gambar itu diambil. Tiada versi terdahulu gambar berkenaan ditemui dalam talian sebelum Isnin.
Selepas perbicaraan sulit yang berlarutan susulan rampasan kuasa itu, Suu Kyi dijatuhkan hukuman penjara 33 tahun susulan sabitan atas pelbagai pertuduhan, termasuk rasuah, menghasut penipuan pilihan raya dan melanggar undang-undang kerahsiaan negara.
Sekutu beliau menegaskan pertuduhan itu bermotifkan politik dan bertujuan menyingkirkan Suu Kyi, yang dianggap antara ahli politik paling popular di negara mempunyai 51 juta penduduk itu.
Hukuman berkenaan kemudian dikurangkan kepada 27 tahun sebelum dikurangkan lagi sebanyak satu perenam April lalu, bermakna beliau masih perlu menjalani hukuman penjara selama 18 tahun, menurut pasukan guamannya.
Anak lelaki Suu Kyi, Kim Aris memberitahu Reuters Disember lalu, beliau hanya memperoleh maklumat terhad mengenai keadaan kesihatan ibunya, termasuk maklumat tidak langsung berhubung masalah jantung, tulang dan gusi dihidapi Suu Kyi, selain tidak mendengar khabar daripadanya selama bertahun-tahun sehingga menimbulkan kebimbangan ibunya mungkin meninggal dunia tanpa pengetahuannya.
Pentadbiran yang disokong tentera di Myanmar berulang kali mendakwa Suu Kyi dalam keadaan “sihat”, walaupun tekanan antarabangsa semakin meningkat supaya kerajaan Myanmar membenarkan pengesahan bebas mengenai keadaan kesihatannya.
Pada hujung April lalu, selepas pilihan raya diatur tentera menyaksikan bekas pemimpin junta, Min Aung Hlaing menjadi presiden Myanmar, pihak berkuasa memaklumkan Suu Kyi dipindahkan ke tahanan rumah.
Susulan pertemuan antara menteri luar Myanmar dengan rakan sejawat dari negara anggota Asean di Bangkok bulan lalu, diplomat tertinggi Thailand, Sihasak Phuangketkeow menggesa akses diberikan kepada Suu Kyi “agar kami dapat mengesahkan dakwaan” beliau dalam keadaan sihat.
Tetapi, pentadbiran baharu yang disokong tentera itu setakat ini enggan memberi akses kepada Suu Kyi, termasuk permintaan Filipina pada Mei lalu supaya utusan khas Asean dibenarkan menemuinya.
Suu Kyi, anak kepada wira kemerdekaan Myanmar, Jeneral Aung San pernah dikenakan tahanan rumah selama 15 tahun di kediaman keluarganya di Tasik Inya, Yangon, di bawah pemerintahan junta terdahulu. Di situlah beliau terkenal dengan ucapan penuh semangat yang disampaikan kepada penyokong berhimpun di depan pagar besi kediaman.
