
PETALING JAYA: Tiada sebarang tangkapan membabitkan kumpulan pelarian Rohingya yang berhimpun di luar pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus menegaskan, kumpulan itu hanya diperiksa bagi tujuan dokumentasi.
“Tiada tangkapan dibuat tetapi (mereka) hanya diperiksa dan dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur bagi tujuan dokumentasi dan dibebaskan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian bagi membetulkan laporan media antarabangsa yang mendakwa kumpulan pelarian tersebut ditahan selepas tiba di ibu negara dengan menaiki bas selepas diusir dari penempatan mereka di Pulau Pinang.
Pada 29 Julai, Fadil berkata, kumpulan pelarian itu dipindahkan secara berperingkat ke tiga negeri yang ditetapkan oleh NGO dan UNHCR.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula kira-kira 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia hasil rundingan dan hubungan baik kedua-dua negara.
Setakat penghujung Februari lepas, kira-kira 126,000 pelarian Rohingya dilaporkan berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.
