
GEORGE TOWN: Ketua DAP Pulau Pinang Steven Sim berkata, beliau akan bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengusulkan perubahan dasar susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Johor dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, DAP mesti mendengar suara pengundi, menambah baik dasar kerajaan, memperkukuh perpaduan dalaman dan kekal teguh dengan prinsip partinya.
Menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu berkata, beliau telah mengarahkan pegawai kementeriannya untuk menyediakan usul berdasarkan kebimbangan yang disuarakan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Saya akan bawa cadangan ini untuk jumpa dengan perdana menteri … kita nak (beliau) juga dengar suara rakyat, khususnya di bawah,” katanya pada majlis makan malam sempena ulang tahun DAP ke-60 dan 40 tahun kemenangan bersejarah Lim Kit Siang di Tanjong.
Sim berkata, beliau juga akan bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow untuk membincangkan dasar dan program kerajaan negeri yang mungkin memerlukan penyelarasan atau penambahbaikan, bertujuan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap DAP.
Acara DAP malam ini diadakan selepas PH tewas pada PRN Negeri Sembilan semalam, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memenangi sejumlah 25 daripada 36 kerusi DUN, berbanding PH yang hanya memperoleh 11 kerusi.
DAP mengekalkan sembilan daripada 11 kerusinya, manakala kerusi Chennah dan Repah dimenangi oleh parti komponen BN, iaitu MCA.
Menjawab persoalan mengapa DAP mengadakan majlis makan malam itu terlalu awal selepas kekalahan di Negeri Sembilan tatkala ahli mungkin masih hilang semangat, Sim berkata, DAP pernah berdepan tamparan yang lebih hebat sebelum ini, mengimbas kembali bagaimana Lim pergi ke Pahang untuk menaikkan semangat ahli parti pada hari yang sama PH kehilangan kuasa persekutuan pada 2020.
Beliau juga menyelar dakwaan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari bahawa kerjasama antara BN dan PN boleh menumbangkan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP, yang disifatkan Sim sebagai angkuh.
“Mereka sedang menang, tengah angkuh, tengah sombong. Biarlah mereka dengan keangkuhan mereka,” kata Sim menambah, DAP dan PH akan terus bekerja keras untuk mempertahankan Pulau Pinang dan mengekalkan kerusi di negeri itu.
Bekas Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik berkata, walaupun kekalahan PH di Negeri Sembilan adalah satu tamparan hebat, DAP kini berpeluang merapatkan semula hubungan dengan pengundi.
“Kita dari kerajaan jadi pembangkang, tetapi kita tak pernah takut jadi pembangkang, kerana sebagai pembangkang, kita ada peluang untuk kembali kepada rakyat.
“Kita mahu berdiri bersama rakyat. Itulah semangat kita,” katanya.
