
PETALING JAYA: Keputusan PRN Negeri Sembilan menunjukkan DAP masih berjaya mengekalkan sebahagian besar sokongan pengundi Cina, meskipun terdapat tanggapan mereka telah meninggalkan Pakatan Harapan (PH), kata bekas pemimpin MCA.
Bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker, berkata DAP berjaya memenangi sembilan daripada 11 kerusi PH walaupun komponen lain dalam gabungan itu mencatatkan prestasi yang agak lemah.
Beliau berkata, kekalahan tipis Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook di Chennah selepas tiga penggal juga bukan petanda penolakan pengundi Cina terhadap parti itu. Kerusi campuran itu mempunyai komposisi pengundi Melayu sebanyak 47.8%, diikuti Cina (42.6%), Orang Asli (6.3%) dan India (2%).
Loke tewas dengan majoriti 688 undi dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon MCA Siow Kong Choon. walaupun terdapat perubahan sentimen terhadap PH, ia tidak berlaku secara sama rata di semua kelompok pengundi.
“Satu mesej yang tidak boleh dinafikan: Undi Cina masih merupakan benteng utama DAP. Walaupun terdapat perubahan sentimen terhadap PH, ia tidak berlaku secara sama rata di semua kelompok pengundi.
“Cina belum meninggalkan DAP. Tetapi DAP juga tidak lagi boleh menganggap undi Cina sebagai jaminan automatik.
“PH jelas mengalami masalah besar dalam mendapatkan sokongan Melayu. Tanpa peningkatan sokongan Melayu, kekuatan DAP di kawasan Cina mungkin tidak cukup untuk membawa PH kembali berkuasa,” katanya di Facebook.
Bekas timbalan menteri itu berkata, ramai pengundi Melayu masih tidak melihat DAP sebagai sebuah parti sederhana walaupun parti itu berada dalam PH bersama pemimpin Melayu daripada PKR dan Amanah.
Ti berkata, DAP memerlukan lebih daripada dua penggal pilihan raya untuk mengubah imej chauvinis yang terbina selama beberapa dekad, walaupun berlaku perubahan kepimpinan apabila Loke dan pemimpin lain membawa pendirian lebih sederhana.
Loke pertama kali dipilih sebagai setiausaha agung DAP pada 2022, menggantikan Lim Guan Eng yang memegang jawatan itu selama 18 tahun.
