Pemimpin GPS tepis dakwaan Malaysia Timur hilang peranan ‘kingmaker’

Selepas PRU 2022, Pengerusi PH Anwar Ibrahim (dari kiri) menerima sokongan Ketua GPS Abang Johari Openg dan Pengerusi GRS Hajiji Noor untuk membentuk kerajaan perpaduan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Sarawak menepis dakwaan parti di Malaysia Timur akan hilang peranan sebagai ‘kingmaker’ pada PRU16 kerana pakatan tidak rasmi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat berpotensi meraih majoriti mudah dan membentuk kerajaan persekutuan bersendirian.

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dinamik politik boleh berubah, tetapi Sabah dan Sarawak akan kekal penting dalam menentukan landskap politik negara. Sebarang ramalan politik negara perlu mengambil kira berat strategik dua negeri itu.

“Perlu ingat di manakah sumber asli Malaysia? Di mana ia berada? Adakah anda fikir parti politik di Semenanjung Malaysia sanggup mengambil risiko itu dengan tidak bekerjasama dengan Sarawak atau Sabah? Adakah mereka berani?” katanya di Kuching, menurut Dayak Daily.

Karim menjawab ramalan Larry Sng, presiden Parti Bangsa Malaysia, bahawa berdasarkan unjuran semasa daripada keputusan PRN Negeri Sembilan, kerjasama BN-PN mampu meraih majoriti mudah pada PRU16.

Beliau berkata, BN dan PN memenangi 98 kerusi pada PRU2022 dan hanya memerlukan 14 kerusi lagi untuk mencapai majoriti mudah.

Karim yang juga jurucakap GPS dan ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu bagaimanapun berkata, GPS menyertai kerajaan perpaduan untuk membantu memastikan kestabilan.

“Jika keadaan di Semenanjung Malaysia cenderung ke arah satu parti atau gabungan mampu membentuk kerajaan tanpa Sabah dan Sarawak, itu hanya pandangannya.”

PRU 2022 berakhir dengan Parlimen tergantung, yang membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan terdiri daripada Pakatan Harapan, BN, GPS Sarawak, GRS Sabah dan parti kecil.

BN, PN dan PH bertanding 171 kerusi Parlimen pada 2022, kebanyakannya di Semenanjung Malaysia, termasuk 86 kerusi dengan 65% pengundi Melayu.

Ia berkesudahan dengan PH memenangi 82 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, diikuti PN (74), BN (30), GPS (23) dan GRS (enam).

BN, GPS dan GRS kemudiannya menyokong Pengerusi PH, Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan perpaduan semasa.

Penganalisis politik sebelum ini meramalkan PRU16 akan membawa kepada keputusan sama, dengan tiada sebuah parti dapat memenangi kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Author: admin