
TAWAU: Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM450.5 juta yang dijangka siap sebelum akhir 2027 akan menyelesaikan masalah bekalan air dihadapi penduduk di daerah ini, kata Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Beliau berkata, projek membabitkan pembinaan Empangan Air Tawau untuk membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 1 dan 2 serta LRA Utara itu berjalan mengikut jadual.
“Walaupun ada permohonan daripada kontraktor untuk melanjutkan kerja, yang penting projek itu dijadual siap sebelum akhir 2027,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan Empangan Air Tawau dan LRA Cinta Mata 2 hari ini.
“Kita (kerajaan negeri) warisi masalah ini. Masalah ini bukan datang (timbul) pada waktu kerajaan hari ini tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita lakukan yang terbaik. Kita bagi peruntukan untuk selesaikan dan bagi kemudahan kepada rakyat.”
Hajiji berkata, kerajaan negeri bersedia melakukan penelitian sekiranya terdapat keperluan untuk menambah peruntukan projek bergantung kepada laporan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Terdahulu, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Pengurus Projek JANS Rodney Tinggas dalam taklimatnya memaklumkan Skim Bekalan Air Tawau Fasa III yang melibatkan pembinaan Empangan Air Tawau mencapai kemajuan projek sebanyak 74.04% setakat 25 Julai lepas.
Projek itu merangkumi pembinaan empangan dengan kapasiti takungan air mentah sebanyak 30 juta meter padu serta pemasangan paip air bersaiz 700mm sepanjang 11.6km.
Empangan berkenaan membekalkan air kepada LRA Cinta Mata 1, LRA Cinta Mata 2 dan LRA Utara dengan kapasiti pengeluaran air terawat keseluruhan sebanyak 161 juta liter sehari (JLH), selain mengurangkan risiko banjir di kawasan hiliran Tawau.
Di samping itu, Hajiji turut mendengar taklimat mengenai perkembangan pembinaan projek LRA Cinta Mata 2 yang dijadualkan siap pada 22 Julai 2028 dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 42,000 pengguna di Tawau dan kawasan sekitar.
Setakat 25 Julai, pembinaan LRA berkapasiti 30 juta JLH bernilai RM299.9 juta itu kini mencapai kemajuan fizikal 16.08%.
Sebanyak 53,133 akaun pengguna air berdaftar direkodkan di Tawau namun jumlah pengeluaran air semasa hanya 130 JLH berbanding permintaan sebanyak 142 JLH.
