
PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor telah merakam keterangan seorang suspek dan beberapa saksi dalam siasatan berhubung kematian seekor anjing peliharaan bernama Rocky di Klang pada malam Rabu.
Jabatan itu berkata, keterangan diberikan semalam bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan penganiayaan haiwan yang boleh didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan.
Ia menetapkan peruntukan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, adil dan tanpa memihak kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Rocky mati ketika operasi penguatkuasaan di Pelabuhan Klang pada malam Rabu, dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dilaporkan mempertahankan pegawainya dan mendakwa pemilik anjing itu bertindak agresif semasa operasi berkenaan.
MDBK berkata wanita terbabit bertindak agresif dengan cuba memotong tali yang digunakan untuk menahan anjing tersebut serta mengugut untuk mencederakan dirinya jika anjing itu tidak dilepaskan.
Ia menambah bahawa kekecohan yang berlaku menyebabkan pegawai sukar melonggarkan tali berkenaan dan mengesahkan Rocky mati dalam kejadian tersebut.
