
SEREMBAN: Presiden PAS, Hadi Awang berkata Perikatan Nasional (PN) menggunakan strategi meletakkan Umno di barisan depan pada PRN Johor, manakala gabungan itu bertindak sebagai “pasukan sampingan” bagi menampung kekurangan.
Beliau berkata, pendekatan itu diambil selepas PN menilai kedudukan politik ketika itu, walaupun Umno memiliki majoriti besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas PRN ke-15 pada 2022.
“Walaupun Umno mempunyai majoriti besar di Johor, 40 kerusi daripada 56 kerusi (pada PRN 2022). Tapi bila saya melihat barisan calon-calon PH yang begitu rupa, tokoh-tokoh yang besar, kami bimbang Johor akan jatuh, kuasa Umno akan jatuh kepada kuasa lain.
“Kami mengambil langkah mesti selamatkan Johor,” katanya ketika berucap dalam satu ceramah di sini, malam tadi.
Menurutnya, atas pertimbangan itu, PN memberi laluan kepada Umno untuk mengetuai barisan, manakala PAS dan parti lain memainkan peranan menyokong.
Mengulas PRN Negeri Sembilan, Hadi berkata, keadaan politik di negeri itu lebih mencabar berbanding Johor.
Jelasnya, sebelum ini, beliau melihat ada ruang untuk menukar kerajaan negeri menerusi undi percaya di DUN Negeri Sembilan, namun usaha itu gagal selepas dua Adun Bersatu menarik diri.
“Negeri Sembilan lebih bahaya daripada Johor. Kami ambil langkah untuk buat undi percaya di DUN, di mana 14 (Adun) daripada Umno bergabung dengan lima (Adun) daripada PN, iaitu tiga PAS dan dua Bersatu boleh tukar kerajaan.
“Malangnya dua daripada (Adun) Bersatu dia tarik, gagal.”
Beliau menggesa pengundi muda memberi sokongan kepada PN pada 1 Ogos ini.
“Sebab itu kita mengharapkan pengundi-pengundi muda memberi sokongan kepada gabungan ini kerana perjuangan kita ini bukan untuk hari ini sahaja, tetapi untuk masa depan.”
BN dan PN membentuk pakatan pilihan raya tidak rasmi untuk PRN Negeri Sembilan, di mana BN bertanding 25 kerusi dan baki 11 kerusi ditandingi PN yang diterajui PAS.
Dua gabungan itu turut mengarahkan penyokong mereka mengundi calon mereka pada 1 Ogos ini.
Sebelum ini, Hadi dilaporkan berkata, kerjasama BN-PN bukan “wayang politik”, sebaliknya lahir daripada keperluan menyatukan sokongan bagi menewaskan PH di Negeri Sembilan dan PAS sedia menerima calon menteri besar daripada Umno, jika ia mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.
