
PETALING JAYA: Walaupun laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) tidak menunjukkan berlakunya sebarang penyelewengan dana, ia tidak membebaskan kepimpinan terdahulu daripada kegagalan tatakelola yang teruk, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Laporan RCI ini tidak menunjukkan ada pemimpin politik yang ‘sakau’ atau memasukkan duit berbilion ringgit ke akaun peribadi. Itu kita kena adil.
“Namun, ia langsung tidak boleh membersihkan mereka (kepimpinan terdahulu) daripada masalah kepimpinan dan kelompongan tatakelola yang menyebabkan TH rugi berbilion ringgit.
“Jangan sekali-kali kita meraikan kesilapan lalu,” katanya dalam satu sesi ulasan secara langsung di media sosial.
Beliau menggesa agar audit forensik dijalankan secara mendalam ke atas 14 keputusan pelaburan mega terjejas teruk, antaranya pelaburan dalam Felda Global Ventures (FGV) Berhad, Putrajaya Perdana Berhad, Al-Rawda Real Estate, serta TH Indo Plantations.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam menerbitkan Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Suruhanjaya itu ditubuhkan pada 2021 dan menyiapkan laporannya pada Julai 2022 sebelum ia dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum malam tadi.
RCI mendapati TH berdepan krisis kewangan serius pada 2017 dan menggunakan kaedah “perakaunan kreatif” bagi membolehkan pembayaran hibah yang tinggi.
Menurut laporan itu, TH sepatutnya mencatatkan kerugian RM1.4 bilion, bukannya keuntungan RM3.4 bilion. Hukuman tatatertib terhadap lima pegawai kanan pula kemudiannya diringankan.
