Selangor semak keperluan PRK jika ada kekosongan kerusi DUN, kata Amirudin

AMIRUDIN SHARI
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan memaklumkan kepada SPR jika semakan mendapati terdapat keperluan dari segi perundangan untuk mengadakan PRK.

KUALA PILAH: Kerajaan Selangor sedang menyemak sama ada wujud keperluan untuk mengadakan PRK susulan dakwaan berkaitan kelayakan seorang Adun, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Menurutnya, beliau sedang membuat semakan dengan penasihat undang-undangnya bagi mengesahkan dakwaan terbabit sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.

“Kita ada menerima sedikit maklumat tersebut. Saya sedang menyemak dengan penasihat undang-undang.

“Kita kena membuat verifikasi terhadap dakwaan-dakwaan tersebut atau ada dakwaan terhadap keguguran atau kehilangan kelayakan seseorang Ahli Dewan Negeri,” katanya kepada media selepas hadir dalam program Kuala Pilah berselawat dan munajat yang turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sekiranya semakan mendapati terdapat keperluan dari sudut perundangan untuk mengadakan PRK, kerajaan negeri akan memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya sedang menyemak dengan LA dan apa keperluannya. Kalau ada keperluan untuk kita memaklumkan kepada SPR, kita akan maklum,” katanya.

Amirudin turut berkata, Speaker DUN Selangor berkemungkinan akan membuat penjelasan berhubung perkara itu ketika sidang DUN yang dijadual berlangsung pada 3 Ogos ini.

“Kemungkinan Speaker akan memaklumkan dalam sesi dewan kita pada 3 Ogos nanti kerana kita ada sesi dewan,” katanya.

Author: admin